Khamis, 10 Mac 2011

SRS terima lebih 100 jaket

CHAT RIMAU – Lebih 100 penduduk yang terdiri daripada ahli Skim Rondaan Sukarela (SRS) di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Chat Rimau di sini menerima jaket masing-masing sempena Majlis Ramah Mesra bersama Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Kelantan. 

Pengerusi KRT Chat Rimau, Che Daud Drasman berkata, KRT dan SRS kampung tersebut ditubuhkan sejak 2007, sejak itu, kes jenayah di kampung tersebut berjaya ditangani penduduk dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia. 
“Penduduk di sini akan terus bekerjasama dengan pihak polis dalam menangani kes di bawah bidang kuasa mereka. 

“Setakat ini, kerjasama dalam kalangan penduduk melaksanakan SRS dan aktiviti-aktiviti lain di sini amat membanggakan,” katanya semalam. 

Che Daud berkata, sempena pertukaran Pengarah JPNIN Negeri Kelantan, Abdul Hadi Mohd Salleh, beliau mengucapkan terima kasih kerana beliau begitu prihatin dengan KRT dan SRS di bawah jagaannya. 

Menurutnya, beliau mewakili masyarakat setempat mendoakan kejayaan Abdul Hadi yang bakal bertukar ke Kuala Lumpur tidak lama lagi. 

“Semenjak beliau menerajui JPNIN Kelantan, banyak manfaat diperoleh KRT Chat Rimau, justeru kami mengharapkan beliau lebih berjaya di tempat baru. 

“Kami juga berharap, KRT Chat Rimau tidak dilupakan beliau walaupun bertukar ke tempat baru,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...