Khamis, 10 Mac 2011

Sesi dialog rungkai masalah

PELABUHAN KLANG - Ketakutan penduduk berhubung isu kes pecah rumah yang semakin meningkat di sini dirungkai dalam dialog bersama penduduk dan polis dalam usaha mencari jalan penyelesaian kepada situasi ini. 

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, kejadian kes pecah rumah ini sudah berlarutan sejak beberapa bulan lalu. 

“Sebuah keluarga memaklumkan rumahnya bukan sahaja dipecah masuk perompak malah mereka turut dicederakan. 

“Kita menerima aduan kira-kira 40 kes pecah rumah yang dimaklumkan penduduk di sekitar Jalan Kastam, Jalan Seroja dan lain-lain. Oleh itu, saya menemui Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop bagi mengutarakan masalah ini dan akhirnya kita sepakat adakan dialog ini,” katanya ketika ditemui selepas sesi dialog yang dihadiri lebih 200 penduduk bertempat di Dewan Masyarakat Santa Anna, di sini beberapa hari lalu. 

Menurutnya, hasil daripada dialog ini, penduduk meminta polis mengadakan rondaan di kawasan kediaman penduduk secara kerap terutamanya pada awal pagi sekitar jam 3 hingga 5 pagi. 

“Kita percaya kehadiran polis di kawasan ini boleh menakutkan penjenayah sekali gus dorongan mereka melakukan kegiatan jenayah dapat dibanteras. 

“Penduduk juga meminta Bit Polis didirikan di kawasan terbabit bagi memudahkan penduduk berhubung terus dengan polis dalam menyalurkan maklumat dan meminta bantuan,” katanya. 

Beliau berkata, Asisten Komisioner Mohamad juga turut memaklumkan pihaknya akan meminta polis menjalankan rondaan secara kerap. 

“Beliau turut meminta penduduk menyalurkan maklumat kepada polis selain mengambil pendekatan mengenali jiran,” katanya. 

Dalam pada itu Charles berkata, hasil daripada dialog juga satu Jawatankuasa Keselamatan Penduduk berjaya dibentuk yang dianggotai lapan hingga 10 orang. 

“Tujuan penubuhan adalah bagi menyedarkan penduduk perihal pentingnya memupuk semangat kejiranan. 

“Saya harap melalui penubuhan jawatankuasa ini, penduduk dan polis dapat bekerjasama dalam usaha membanteras kejadian jenayah di kawasan ini,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...