Khamis, 10 Mac 2011

Polis Tahan Enam Lelaki Dan Dua Wanita Disyaki Pengedar Dadah

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Polis menahan enam lelaki dan dua wanita yang disyaki terbabit dalam kegiatan mengedar dadah dalam satu serbuan di sebuah rumah teres di Taman Bukit Permai, Ampang di sini, awal pagi semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata polis turut merampas bahan disyaki dadah jenis ketamin bernilai sekitar RM330,000 dalam serbuan pada kira-kira pukul 2 pagi itu.

Beliau berkata siasatan awal mendapati semua mereka yang berumur antara 21 dan 37 tahun itu terlibat dalam kegiatan membungkus dan mengedar dadah di dalam rumah berkenaan.

Katanya polis turut menemui satu beg yang berisi 15 peket plastik lutsinar yang disyaki mengandungi dadah jenis ketamin dianggar seberat 15.062kg, serta beberapa peket plastik kosong, alat timbang dan "Sealer" dalam rumah itu.
"Wang tunai RM52,000 dan empat buah kenderaan turut dirampas dalam serbuan itu, dan polis sedang menyiasat sekiranya semua kenderaan itu adalah kenderaan curi," katanya kepada pemberita dalam satu persidangan media di Ibu pejabat polis Bukit Aman di sini hari ini.

Beliau berkata semua suspek yang dipercayai bergiat aktif dalam kegiatan mengedar dadah di sekitar Lembah Klang itu kini ditahan reman selama tujuh hari sejak semalam, dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...