GEORGETOWN: Dua murid
perempuan Tahun Tiga mendakwa diculik di hadapan sekolah mereka di Batu
Lanchang di sini, semalam.
Jurucakap
polis berkata, murid berkenaan mendakwa mulut mereka ditekup dengan kain oleh
dua lelaki sebelum ditarik masuk ke dalam sebuah van berwarna putih dalam kejadian
kira-kira 1.45 tengah hari.
"Bagaimanapun,
ketika van itu berhenti di sebuah bank di Jalan Masjid Negeri, mangsa menggigit
tangan suspek dan dapat meloloskan diri," katanya ketika dihubungi di
sini, hari ini.
Beliau
berkata, ketika melarikan diri, murid berkenaan terserempak dengan ibu rakan
sekolah mereka yang kemudiannya menghantar mereka ke sekolah semula.
Beliau
berkata, ibu kepada seorang murid itu yang juga guru di sekolah berkenaan
melaporkan kejadian itu kepada polis.
Sementara
itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Supt Abdul Rahman Ahmad, ketika
dihubungi mengesahkan menerima laporan itu petang semalam.
Beliau
berkata, siasatan awal polis mendapati tiada saksi melihat kejadian itu dan kes
itu sedang disiasat.