PENDANG – Remaja antara golongan yang paling penting dalam memimpin selain menentukan kemajuan sesebuah negara, namun dengan kes jenayah yang membabitkan golongan itu semakin berleluasa, remaja hari ini sudah jauh dari landasan yang sepatutnya.
Ketua Polis Pendang, Deputi Superintendan Abdul Aziz Ahmad berkata, jenayah yang sering dilakukan membabitkan golongan remaja adalah kes kecurian motosikal yang kini mencatatkan peratusan tinggi.
Sikap sambil lewa pemilik bawa padah
Menurutnya, kes itu dicatatkan sebanyak 62 peratus, ternyata sering membabitkan golongan remaja.
“Yang paling muda terjebak dengan jenayah ini adalah dalam lingkungan 15 tahun.
“Mereka yang terlibat selalunya bergerak dalam kumpulan kecil,” katanya kepada Sinar Harian.
Abdul Azizi berkata, motosikal yang sering menjadi sasaran kepada kes kecurian adalah jenis Honda EX5 dan Yamaha RC yang banyak dilaporkan hilang memandangkan motor jenis terbabit mudah untuk dicuri.
“Motor yang sering menjadi risiko adalah motor yang tidak mempunyai kunci tambahan dan diletakkan di kawasan yang terpencil dan gelap.
“Sikap pemilik motosikal yang sambil lewa membawa padah pada diri mereka sendiri selain antara penyebab kes ini makin meningkat peratusnya,” katanya.
45 peratus kes berjaya selesai
Beliau berkata, golongan remaja yang terlibat dengan jenayah itu bertindak meleraikan semua komponen motosikal terbabit bagi menjual semua alat-alat gantian terbabit untuk memperoleh wang.
“Selepas meleraikan semua alat-alat gantian itu, mereka akan membuang rangka motosikal ke dalam sungai, hutan, semak samun agar perbuatan mereka tidak dapat dihidu pihak berkuasa dan orang ramai.
“Atas pengakuan remaja yang ditangkap, mereka sendiri mengaku dan memberi kerjasama dengan menunjukkan tempat-tempat rangka itu dibuang,” katanya.
Daripada jumlah peratusan kes kecurian itu, beliau berkata, sebanyak 45 peratus kes terbabit berjaya diselesaikan polis hasil soal siasat dan maklumat masyarakat setempat yang banyak membantu.
Sentiasa berwaspada
Beliau juga menyarankan agar orang ramai sentiasa berwaspada kerana kes itu banyak tertumpu pada kawasan pekan namun kejadian itu tidak tertumpu sepenuhnya pada setiap masa.
Sementara itu, selain daripada kes terbabit, terdapat juga jenayah pecah rumah yang sering dilakukan golongan remaja namun peratusan jenayah itu tidak tinggi seperti kes kecurian motosikal.
“Kawasan taman, dan kampung menjadi perhatian kes jenayah ini namun peratusannya tidak meningkat.
“Namun kes jenayah yang berlaku di daerah Pendang adalah terkawal hasil bantuan orang ramai yang sering membantu pihak polis,” katanya.
Kem Anak Soleh bimbing anak-anak
Kem Anak Soleh yang dianjurkan oleh pembangunan ehsan Kerajaan Negeri Kedah dilihat dapat melahirkan anak-anak yang soleh dan membentuk anak-anak yang mampu berhadapan dengan cabaran.
Pengarah Kem Anak Soleh Pendang, Salim Mahmud berkata, masalah sosial yang sering berlaku kepada anak-anak berpunca daripada solat yang sering diabaikan.
Tambahnya, sesungguhnya solat itu tiang agama, jika runtuh maka runtuhlah juga akhlak seseorang individu itu.
“Ibu bapa harus memainkan peranan dalam memberi didikan agama yang mencukupi bagi menghindari masalah sosial dan jenayah yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan remaja,” katanya.
Wang punca jenayah bermula
Sinar Harian cuba mendapatkan komen daripada seorang remaja iaitu Mat Isa Awang, 26, mengakui bahawa memang banyak jenayah yang berlaku dalam kalangan remaja yang menyumbang kepada beberapa faktor yang mendorong mereka melakukan pelbagai jenayah.
Menurutnya, remaja yang terdorong melakukan jenayah itu adalah terdiri daripada remaja yang datang daripada latar belakang keluarga yang kurang didikan agama.
“Jika abang atau ahli keluarganya menunjukkan sifat dan kelakuan yang tidak baik menyebabkan adik beradik yang lain terikut-ikut perangai ahli keluarga.
“Selain itu golongan terbabit juga mudah terpengaruh dengan pujukan rakan-rakan,” katanya.
Mat Isa berkata, akibat terdesak untuk mendapatkan wang juga salah satu faktor mereka terjebak dalam kancah terbabit, tanpa berfikir panjang kesan yang bakal mereka dihadapi.
“Remaja adalah pewaris bangsa. Pemuda adalah harapan bangsa dan pemudi ialah tiang negara. Semua pihak harus memainkan peranan untuk mengurangkan masalah terbabit bagi mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat.” katanya.