KUANTAN - Sebanyak 1,000 set komputer bernilai kira-kira RM3 juta yang disyaki digunakan dalam kegiatan perjudian internet di sekitar daerah ini berjaya dirampas hasil serbuan dalam Operasi Ops Dadu sepanjang 2010 hingga 23 Mac 2011.
Dalam tempoh hampir tiga bulan tahun ini sahaja, Cawangan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan membuat 24 serbuan ke atas pusat internet yang dikenal pasti menyalahgunakan lesen perniagaan dan menjalankan aktiviti berunsur perjudian.
Hasil serbuan itu, 197 set komputer dianggarkan bernilai lebih RM500 ribu berjaya dirampas daripada 19 premis sekitar Kuantan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, dalam tempoh itu, seramai 88 individu termasuk pelanggan dan penjaga premis yang terlibat menyediakan aktiviti berunsur perjudian tahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Menurutnya, operasi berterusan itu melibatkan kerjasama beberapa agensi termasuk Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Tenaga Nasional Berhad (TNB), dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Dalam serbuan terbaru yang dijalankan bersama MPK dan SPRM di beberapa pusat internet sekitar Taman Impianku dekat sini kelmarin, sebanyak 32 set komputer di rampas manakala 9 individu berjaya ditahan.
“Pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terus berdegil menyediakan kegiatan perjudian di sebalik perniagaan internet yang sah apatah lagi di premis-premis haram,”katanya pada sidang media, petang semalam.
Mohd Jasmani berkata, pihaknya bekerjasama dengan MPK, TNB dan SPRM supaya tindakan dapat diambil terhadap individu atau premis terlibat mengikut bidang kuasa masing-masing.
“Semua komputer yang dirampas akan dihantar ke bahagian forensik untuk pengesahan sebelum merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya sama ada kes terlibat boleh didakwa di mahkamah atau sebaliknya.
“Individu yang didapati bersalah menjalankan kegiatan judi ini boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM100,000 atau tidak lebih lima tahun penjara bagi setiap mesin ,”katanya.
Beliau berkata, premis yang didapati menyalahgunakan lesen dikeluarkan MPK juga berdepan hukuman pembatalan lesen tersebut.
“Polis akan terus jalankan usaha membendung gejala ini yang dikhuatiri membawa kepada masalah sosial dan peningkatan kadar jenayah," katanya.