GEORGE TOWN, 25 Mac (Bernama) -- Polis sedang menyiasat satu kejadian tembakan rambang oleh orang yang tidak dikenali di kawasan perumahan Mount Erskine di Tanjung Bungah di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata pada kejadian pukul 3 pagi itu, penduduk di kawasan berkenaan gempar apabila beberapa orang melepaskan beberapa das tembakan ke arah empat buah rumah teres dua tingkat di kawasan taman itu dan tembakan itu mengenai empat buah kenderaan yang diletakkan di hadapan rumah berkenaan.
"Polis mendapati ada kesan tembakan yang menembusi kereta dan menemui beberapa butir peluru bertaburan di atas jalan," katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Polis ke-204 di sini pada Jumaat.
Polis turut menemui tiga kelongsong peluru pistol jenis automatik dan peluru pistol jenis 9mm yang bertaburan di hadapan sebuah kenderaan terlibat.
Beliau berkata tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dan setakat ini polis masih tidak membuat sebarang tangkapan.
Gan berkata kejadian itu adalah pertama seumpamanya berlaku dan beberapa penghuni rumah terlibat telah membuat laporan polis beberapa jam kemudian.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) dan orang awam yang melihat kejadian diminta tampil memberi maklumat di balai polis berhampiran.
Katanya polis menyiasat motif kes itu dari pelbagai sudut termasuk kemungkinan balas dendam atau peras ugut.