JOHOR BAHRU- Niat baik sepasang suami isteri untuk menziarahi kakak mereka berakhir dengan nasib malang apabila mereka di samun dua penjenayah sebaik tiba di hadapan rumah kakaknya itu di Jalan Bukit Kempas 1, Taman Bukit Kempas , di sini, awal bulan lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.20 petang pada 9 Mac lalu itu, Chong Hwee Huat, 28, bersama isteri, Teoh Hooi Shan yang baru sahaja turun dari kereta didatangi dua lelaki menaiki sebuah motosikal dan salah seorang dari mereka telah datang mengacukan pisau ke arahnya.
Hwee Huat kemudiannya bertindak melarikan diri dan dalam pada masa yang sama, isterinya yang masih berada di dalam kereta menekan hon untuk mendapatkan bantuan jiran-jiran berdekatan.
“Namun tiada seorang pun datang menolong. Selepas itu lelaki berkenaan telah memecahkan cermin kereta sebelah kiri dengan menggunakan pasu bunga.
“Saya merayu supaya tidak mengapa-apakan isteri saya dan menyerahkan segala dokumen dan beg duit kepada lelaki berkenaan. Kereta saya juga turut dilarikan oleh suspek,” katanya kepada pemberita dalam satu perjumpaan di rumah itu, semalam.
Turut hadir pada perjumpaan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Dr Boo Cheng Hau.
Mangsa memberitahu, antara barang yang dilarikan penjenayah terbabit adalah kad pengenalan, pasport antarabangsa, kad kredit, kad ATM, tiga telefon bimbit, sejumlah wang dan barangan peribadi lain.
Hwee Huat yang bekerja sebagai jurutera di Singapura telah membuat laporan di Balai Polis Kempas pada hari yang sama kira-kira jam 2.05 petang.
“Kejadian berlaku cukup pantas dan saya tidak langsung menyangka dua lelaki yang menaiki motosikal itu mahu menyamun saya.
“Saya berharap mereka segera dicekup. Saya menasihatkan masyarakat di luar sana lebih berhati-hati dan tidak mudah leka terhadap persekitaran yang tidak dapat dijangka,” katanya.