SHAH ALAM – Gara-gara tidak dapat menerima hakikat hubungan cinta berakhir, seorang remaja bertindak ganas menikam serta mengelar bekas kekasihnya dalam kejadian di Robson Height, Brickfield, Jumaat lalu.
Sebelum kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa dihubungi suspek yang dikenali sebagai Sivam, 27, yang mengugut membunuh dirinya jika mangsa tidak datang berjumpa untuk menyelesaikan masalah mereka.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, mangsa yang bimbang dengan ugutan itu, bersetuju bertemu suspek.
Katanya, mangsa tiba di tempat yang dijanjikan tetapi suspek secara tiba-tiba bertindak ganas dengan mengelar pergelangan tangan serta kaki kirinya.
“Suspek panik dan terus membawa mangsa ke sebuah hospital dan menerima 10 jahitan di pergelangan tangan,” katanya semalam.
Zakaria berkata, bapa mangsa membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, dan kertas siasatan diambil alih Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.
Menurutnya, suspek ditahan polis di sekitar Kuala Lumpur Isnin lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.