SHAH ALAM - Seorang pemandu teksi dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan 20 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan memiliki ganja seberat 524.6 gram, tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Siti Khadijah Sheikh Hassan Badjenid memerintahkan tertuduh, Hellmi Yahya, 32, menjalani hukuman itu berkuatkuasa dari tarikh dia ditangkap pada 23 Mac tahun lalu.
Hellmi dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan 10 sebatan terhadap tuduhan memiliki ganja seberat 191.6 gram di Jalan Sungai Buaya, Sungai Jarom, Kuala Langat dekat sini, kira-kira 8 malam pada 23 Mac tahun lalu.
Dadah itu ditemui di dalam teksi milik tertuduh iaitu di atas alas kaki bahagian hadapan tempat duduk pemandu.
Tertuduh juga dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan 10 sebatan atas satu lagi tuduhan pilihan memiliki ganja seberat 333 gram di Bukit Beruntong dekat sini, kira-kira 12.15 tengah malam pada 24 Mac tahun lalu.-Bernama