GERIK - Polis Gerik, di sini, sedang giat mengesan seorang mangsa rogol bapa tiri bagi membantu perbicaraan kes tersebut.
Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Wan Jamil Wan Chik berkata, mangsa berusia 17 tahun yang juga anak kedua daripada tiga beradik dirogol di rumahnya sendiri sekitar Januari 2009.
Menurutnya, kejadian yang berlaku pada waktu tengah malam tersebut diketahui oleh ibunya sendiri.
“Kerana tidak tahan dengan kejadian rogol ini, mangsa membuat laporan polis pada 10 Januari 2009 dan mendapati mangsa dirogol pada waktu tengah malam sewaktu semua ahli keluarga yang lain sedang tidur.
“Mangsa yang berasal dari Kampung Tanjung Rambai, terpaksa merelakan kejadian ini kerana kesian melihat ibunya yang baru melahirkan anak,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Wan Jamil berkata, mangsa adalah seorang pelajar cemerlang di sekolah dan aktif dalam kegiatan kokurikulum telah menghilangkan diri sejak awal tahun ini.
Beliau berkata, keluarga mangsa juga dikatakan telah berpindah ke Kampung Air Ganda, 15 kilometer dari sini, manakala bapa tirinya masih tinggal bersama ibu dan adik mangsa.
“Pihak polis cuba mengesan mangsa melalui alamat pada kad pengenalan beliau dan bertanya dengan keluarga dan jiran-jiran namun, semuanya tidak tahu di mana mangsa berada sekarang.
“Dalam masa sama, pihak polis turut menghubungi bapa kandung mangsa yang berada di Pulau Pinang namun, masih gagal dikesan,” katanya.
Katanya, diharap mangsa atau pihak yang berkenaan dapat menghubungi Pegawai Penyiasat kes tersebut, Inspektor Mohd Ropiza Hassan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik di talian 019-392 1855.
“Pihak polis turut meminta mangsa supaya hadir ke perbicaraan kesnya di Mahkamah Kuala Kangsar pada 4 April 2011 jam 8.30 pagi bagi meneruskan pendakwaan,” katanya.