Sabtu, 26 Mac 2011

Hubungan seks lebih 25 kali

CHUKAI – Disangkakan demam panas, rupa-rupanya sakit mahu bersalin. 

Itulah hakikat pahit yang terpaksa ditelan seorang bapa yang hanya mengetahui anak gadisnya sarat mengandung dan cuma menunggu saat untuk melahirkan bayi ketika menghantar anaknya itu ke hospital bagi mendapatkan rawatan kerana suhu badannya panas. 

Hati bapa mana yang tidak hancur apabila mengetahui berita berkenaan daripada doktor, apatah lagi si anak gadis masih di bawah umur. 

Bagaimanapun, demi maruah, bapa berkenaan nekad membuat laporan polis di Balai Polis Chukai, di sini, Selasa lalu. 
Meskipun sudah sarat mengandung, namun ‘perut membusung’ gadis itu yang dikatakan tidak kelihatan menyebabkan bapa terbabit dan ahli keluarga lain tidak menyedari anaknya itu mengandung luar nikah.

Sinar Harian difahamkan, pada hari sama bapa berkenaan membuat laporan polis, anak gadisnya yang ditahan di wad juga telah selamat bersalin di Hospital Kemaman. 

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat yang mengesahkan kes itu berkata, suspek bagi kes berkenaan adalah teman lelaki mangsa sendiri. 

“Suspek berumur 19 tahun dan berasal dari Bukit Kelulut, Marang. Sekarang kita sedang mengesan suspek. 

“Berdasarkan soal siasat awal juga, mangsa yang sudah tidak bersekolah turut mengakui telah melakukan hubungan seks lebih daripada 25 kali bersama teman lelakinya itu,” katanya kepada Sinar Harian. 

Sehubungan itu, katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. 

Dalam pada itu, beliau turut menasihati ibu bapa agar sentiasa mengawal pergaulan anak-anak bagi mengelakkan mereka terlalu bebas seterusnya mengelakkan kejadian seumpama itu berlaku.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...