KAMPUNG RAJA - Dipercayai gara-gara dendam, seorang lelaki cedera selepas dipukul rakannya di bandar Jertih di sini, kelmarin.
Ketua Polis daerah, Superintendan Kamarud-din Mohd Zakaria berkata, mangsa seorang ahli perniagaan berusia 50-an menerima beberapa jahitan di kepala akibat dipukul lelaki yang dikenalinya.
Menurutnya, dalam kejadian sekitar jam 11 pagi itu, suspek yang juga berumur sekitar 50-an memukul mangsa dipercayai dengan objek keras.
“Kejadian ini dipercayai berpunca suspek menaruh dendam terhadap mangsa berkait dengan kes kewangan dan mangsa yang dikatakan berada di tepi jalan didatangi suspek kemudian tiba-tiba bertindak memukulnya.
“Polis sudah mengenal pasti suspek dan usaha menangkapnya sedang dilalukan,” katanya yang terdahulu membacakan perutusan Ketua Polis Negara.
Menurutnya, mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Raja dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan.
Kamaruddin berkata demikian selepas menyempurnakan perbarisan sempena peringatan Hari Polis ke-204 peringkat Ibu Pejabat Daerah (IPD) membabitkan dua pegawai dan 51 anggota polis di sini, semalam.
Hadir sama Komandan Pangkalan Udara Gong Kedak, Kolonel Mohd Faudzi Ahmad, ketua jabatan dan pemimpin masyarakat.
Sementara dalam majlis perbarisan itu, Kamaruddin menyampaikan sijil penghargaan Ketua Polis negeri dan Ketua Polis daerah kepada pegawai, anggota polis, kakitangan awam, orang perseorangan serta pemimpin masyarakat.