Ahad, 27 Mac 2011

Susun strategi banteras jenayah

MANJUNG – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung akan terus melaksanakan kajian dan usaha berterusan bagi mengekalkan kadar penurunan indeks jenayah dari masa ke semasa. 

Ketua Polisnya, Asisten Komisioner Mohd Jamil Osman berkata, dalam langkah itu, sekiranya suatu penugasan atau perancangan dirasakan tidak sesuai, pihaknya akan mengubah strategi baru yang lebih berkesan. 

Menurut beliau, pihaknya akan sentiasa membuat perancangan pencegahan jenayah setiap tiga bulan untuk menilai kembali prestasi. 

“Gerakan kita kini tertumpu kepada setiap anggota dan pegawai untuk lebih kerap turun padang bagi menampakkan kehadiran mereka kepada masyarakat. 
“Langkah ini kita laksanakan secara berterusan dan akan diseimbangkan ke semua kawasan dengan memberi lebih tumpuan di kawasan ‘hot spot’ atau lokasi kadar jenayahnya meningkat,” katanya ketika ditemui sempena Sambutan Hari Polis ke-204, di sini, semalam. 

Meneruskan misi menurunkan indeks jenayah, IPD Manjung akan mempertingkatkan Ops Payung yang menjadi salah satu medium interaksi antara polis dengan orang ramai. 

Mohd Jamil berkata, pihaknya turut memberi tumpuan terhadap Program Sektor Konstabel bagi melatih anggotanya lebih bertanggungjawab dalam sektor jagaan masing-masing. 

Dalam perkembangan sama, beliau turut melahirkan rasa bangga dengan penurunan kadar indeks jenayah daerah itu. 

Menurutnya, ia dicapai hasil kerjasama orang ramai yang menyalurkan maklumat kepada polis. 

“Pencapaian ini secara tidak langsung menunjukkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan mereka tampil ke hadapan dan membantu polis dalam mencegah jenayah,” katanya. 

Dalam majlis itu, seramai 72 individu dari kalangan anggota polis, kakitangan dan orang awam menerima Sijil Penghargaan Ketua Polis Daerah Manjung atas jasa dan keberanian membantu pihak polis menyelesaikan beberapa kes jenayah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...