SUNGAI BESAR - Indeks jenayah keseluruhannya meningkat di Sabak Bernam, namun begitu, kadarnya masih lagi yang terendah di Selangor dan masih dalam keadaan terkawal serta tidak membimbangkan.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, peningkatan jenayah berlaku disebabkan peningkatan kes curi melibatkan kelapa sawit dan kabel elektrik.
“Faktor kenaikan indeks jenayah ini kemungkinan disebabkan kenaikan harga kelapa sawit dan kabel.
“Kita mohon kerjasama pemilik kebun untuk sama-sama memantau kawasan kebun masing-masing agar jenayah ini dapat dikurangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sambutan Peringatan Hari Polis ke 204, Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam di perkarangan Anjung Budi, di sini.
Mushar berkata, semua kes kecurian kelapa sawit dan kabel ini dapat diselesaikan dengan tangkapan yang dilakukan.
Menurutnya, peningkatan indeks jenayah juga melibatkan kes kecurian kenderaan, kes samun berkawan tanpa senjata api dan pecah rumah berbanding tahun lepas, namun kesemua kes samun ini berjaya diselesaikan dengan tertangkapnya suspek.
Beliau berkata, penjenayah menjadikan mereka yang mempunyai kebun kelapa sawit sebagai sasaran samun dan pecah rumah.
“Oleh itu, kita minta, pemilik rumah mengambil sikap berjaga-jaga, tidak menyimpan wang atau barang kemas di dalam rumah, tingkatkan keselamatan rumah dengan memasang jeriji besi, mengunci rumah dengan baik dan memasang lampu di luar rumah,” katanya lagi.
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, kesemua lapan suspek kes rogol, gadis 13 tahun yang dilaporkan pada 15 Mac lalu berjaya ditangkap dan kes masih dalam siasatan serta menunggu perintah daripada timbalan pendakwa raya untuk pertuduhan kes.