Ahad, 27 Mac 2011

Dicekup ketika leka berjudi

MARANG - Polis daerah menahan empat lelaki berumur antara 30 hingga 45 tahun dan merampas sejumlah kecil tunai serta peralatan yang digunakan ketika berjudi di sebuah pusat snuker dekat kawasan lot kedai di Pekan Wakaf Tapai, semalam. 

Kegiatan judi yang menawarkan pertaruhan secara kecil-kecilan itu terbongkar hasil serbuan yang dijalankan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang pada jam 1.15 pagi. 

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya berkata, melalui serbuan itu empat lelaki tempatan termasuk pemilik premis pusat hiburan tersebut berjaya ditahan. 
“Ketika ditangkap mereka leka bermain judi dalam premis tersebut. Kita juga merampas tunai dan peralatan yang digunakan untuk berjudi,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Polis ke-204 di IPD Marang, semalam. 

Majlis Sambutan Hari Polis Peringkat Negeri Terengganu itu dirasmikan Timbalan Ketua Polis Terengganu Datuk Hamzah Md Jamil. 

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri Superintendan Roslan Abdul Wahid. 

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, kesemua mereka dibawa ke IPD Marang untuk diambil keterangan dan ditahan bagi membantu siasatan. 

Sementara itu, Ahmad turut meminta orang awam terus memberi maklumat kepada pihak polis untuk membanteras kegiatan judi haram sekitar daerah ini agar ia dapat dibanteras sepenuhnya pada masa depan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...