KUALA LUMPUR 25 Mac - Setelah cubaan menyeludup dadah menggunakan gadis tempatan sebagai kurier sering gagal, sindiket dadah antarabangsa kini dikesan mengubah taktik dengan mengupah nelayan tradisional untuk membawa bahan larangan itu ke luar negara.
Menurut sumber, taktik terbaru iaitu menyorok dadah dalam tong ikan bersama longgokan ais oleh nelayan itu terbongkar hasil kejayaan Badan Narkotika Nasional (BNN) Indonesia memberkas dua lelaki rakyatnya dan seorang lelaki warga Itali bersama 44 kilogram syabu dan 40,000 pil amphetamin bernilai lebih RM2 juta pada Sabtu lalu.
Beliau berkata, siasatan ke atas suspek mendapati, dadah itu diseludup dari negara ini menggunakan khidmat bot-bot nelayan tradisional.
"Dadah terbabit dipercayai dibawa oleh nelayan Malaysia sebelum diserahkan kepada nelayan di negara jiran berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sumber berkata, selain sukar dikesan kerana tidak perlu melalui pemeriksaan kastam dan imigresen, taktik baru digunakan ini juga dianggap menguntungkan sindiket disebabkan kos lebih murah.
Menurutnya, dadah yang diseludup akan dibawa ke pelabuhan atau jeti nelayan.