PADANG BESAR – Polis Padang Besar berjaya menahan seorang lelaki warga Thailand berumur 44 tahun dan merampas sebanyak 330 bungkusan daun ketum yang dibalut dengan kertas lut sinar di Kompleks Imigresen, di sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Dros berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam, sepasukan anggota diketuai Inspektor Nik Ahmad Kamil yang menjalankan tugas pemantauan di laluan masuk ke Kompleks Imigresen di sini menahan seorang lelaki yang dalam perjalanan ke Thailand dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, polis yang mencurigai tindakan dan gelagat lelaki berkenaan yang seolah-olah cuba menyembunyikan sesuatu bertindak menjalankan pemeriksaan lebih teliti sehingga membawa kepada penemuan 66 kilogram daun ketum di bahagian belakang kenderaan.
“Selepas melihat gelagat suspek yang mencurigakan, anggota bertindak membuat pemeriksaan lebih teliti di semua bahagian kenderaan jenis Mitsubishi Chams warna kelabu dan bernombor pendaftaran Thailand berkenaan.
“Hasilnya, polis menemui sebuah tempat simpanan yang direka khas penyeludup di bahagian tempat duduk belakang untuk memuatkan barangan seludup ini.
“Kita percaya sebelum ini kenderaan tersebut digunakan untuk menyeludup minyak bersubsidi ke negara jiran Thailand.
“Bagaimanapun, selepas sekatan ketat anggota penguat kuasa, penyeludup menukar taktik dengan membawa pula daun ketum yang lebih ringan malah boleh mendatangkan keuntungan yang lebih lumayan,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Padang Besar, semalam.
Che Man berkata, berdasarkan soal siasat, pihaknya percaya suspek yang bekerja sebagai peniaga hanya mengambil upah menyeludup daun ketum yang diperoleh dari kawasan Beseri dekat sini dengan bayaran satu perjalanan RM200.
“Difahamkan, di Thailand, harga daun ketum yang belum diproses dijual sekitar RM70 sekilo berbanding hanya RM18 sekilo di sini,” katanya.
Kes disiasat mengikut 30 (3) Akta Racun 1952 dan sekiranya didapati bersalah boleh dihukum denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya sekali.