Ahad, 27 Mac 2011

Jadi mata, telinga polis

KUALA LIPIS - Masyarakat di daerah ini perlu menjadi mata dan telinga dalam usaha membantu polis mengekang kegiatan jenayah terutama membabitkan kawasan kampung serta pinggir bandar. 

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, orang ramai tidak seharusnya meletakkan sepenuh tanggungjawab kepada polis semata-mata sebaliknya mereka perlu membantu menyalurkan maklumat untuk membasmi kejadian jenayah. 

Menurutnya, masyarakat juga perlu peka dengan situasi di kawasan masing-masing dan menyimpan nombor telefon balai polis terdekat untuk memudahkan penduduk menghubungi polis segera sekiranya berlaku sebarang kes tidak diingini. 
“Sesetengah orang awam tidak mahu mengambil berat kerana menganggap tindakan menghubungi polis untuk melaporkan sesuatu kejadian jenayah adalah menyusahkan. 

“Masyarakat tidak perlu takut untuk melaporkan kegiatan jenayah di kawasan mereka. Sekiranya orang awam membantu menyalurkan maklumat, ia secara tidak langsung dapat memudahkan kami menjalankan operasi menangkap penjenayah,” katanya selepas sambutan Hari Polis ke-204 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), di sini, semalam. 

Abdul Razak berkata, polis juga amat menghargai kerjasama orang awam menyalurkan maklumat berkaitan dan ia terbukti apabila pihak itu memberi penghargaan kepada seorang lelaki, Abdul Razak Saleh yang membantu polis membanteras kegiatan kecurian motosikal di sekitar daerah Lipis beberapa minggu lalu. 

“Ia sebagai tanda terima kasih kami kepada orang awam yang mempunyai kesedaran untuk membanteras kejadian jenayah di kawasan mereka. Kami harap orang lain turut mengambil langkah sama membantu polis mengekang kegiatan jenayah di tempat masing-masing,” katanya. 

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Ibrahim Sharif berkata, media juga turut memainkan peranan dalam menangani kejadian jenayah kerana fungsinya yang meluas dapat memudahkan pihak berkuasa menjalankan tugas secara menyeluruh. 

“Selain berfungsi sebagai saluran hiburan dan penyampaian maklumat terkini, media juga berperanan untuk menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat. 

“Ia jelas membuktikan media massa memainkan peranan kepada masyarakat serta mempunyai pengaruh yang kuat untuk menanam kesedaran kepada umum,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...