Ahad, 27 Mac 2011

Penurunan kes tertinggi

KUALA KUBU BHARU - Daerah Hulu Selangor mencatatkan penurunan jenayah indeks tertinggi di Selangor. 

Ketua Polis Daerah, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, berdasarkan perangkaan dikeluarkan bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini, Hulu Selangor mencatatkan penurunan 60.25 peratus berbanding tahun sebelumnya. 

Beliau berkata, tahun 2010 mencatatkan 263 kes jenayah berbanding hanya 120 kes tahun ini bagi tempoh tersebut iaitu penurunan sebanyak 143 kes. 

“Penurunan ini membuktikan komitmen padu anggota polis dalam memastikan salah laku jenayah dibanteras sepenuhnya. 
“Kita tidak nafikan dari segi penglibatan anggota sendiri kerana semua anggota sedar kita tak boleh dahulukan diri dan keluarga, tetapi pasukan (harus) dahulu,” katanya kepada Sinar Harian selepas menyempurnakan sambutan Hari Polis Ke 204 Peringkat Daerah Hulu Selangor di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini semalam. 

Sambutan tersebut turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Bakhtiar Rashid dan Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Ketua Trafik Daerah, Asisten Superintenden Mohd Taib Songoh serta Ketua-Ketua Polis Bahagian dan Balai. 

Turut hadir, Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Bharu, Wong Koon Mun dan Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor, Tukiman Nail. 

Norel berkata, bagi penyelesaian kes jenayah, daerah ini turut disenarai sebagai antara tertinggi di Selangor dengan mencatatkan 60.10 peratus bagi tempoh sama tahun ini. 

Sebanyak 145 kes babitkan jenayah kekerasan dan harta benda berjaya diselesaikan pada tahun lepas, sementara 75 kes selesai bermula Januari hingga Mac tahun ini. 

Beliau berkata, sekiranya penurunan kes jenayah sahaja dapat dicatatkan, tetapi penyelesaian kes tidak dapat dilakukan maka perkara itu bukan sesuatu yang boleh dibanggakan. 

Justeru, beliau menyeru seluruh anggota terus meningkatkan usaha di samping bekerjasama dengan masyarakat dalam menyelesaikan masalah berkait jenayah. 

Katanya, program Kepolisan Masyarakat perlu dipergiat agar lebih ramai masyarakat tampil membantu pihak berkuasa. 

“Ops Payung juga dilihat antara usaha berkesan pihak dilaksanakan pihak polis dalam menyelesaikan kes membabitkan jenayah di seluruh kawasan. 

“Operasi ini bukan saja mendekatkan polis dengan masyarakat, malah dapat memantau sebarang kegiatan berkait jenayah di persekitaran penduduk,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...