KOTA BHARU – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, kelmarin kerana dituduh mencuri dan menyimpan sebuah motosikal curi, 6 Mac lalu.
Mohd Hasroy Mat Sekeri, 22 dituduh mencuri motosikal Honda Ex5 bernilai RM4,200 milik Amram Md Nor di Kampung Padang Sepulih Jalan Bechah Hangus Dendang, Kok Lanas antara jam 9 hingga 9.20 malam, tarikh berkenaan.
Tertuduh turut berdepan tuduhan pilihan menyimpan harta curi tersebut di alamat Lot 281-24 Batu 11 Jalan Kuala Krai, Kota Bharu pada jam 12.40 tengah hari, 16 Mac lalu.
Pemuda dari Kampung Buloh Poh Ketereh itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon mahkamah membicarakan dirinya atas kesemua tuduhan tersebut.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih tujuh tahun serta denda mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
Dalam pertuduhan berasingan di mahkamah semalam, Hasrol dan rakan yang ditahan bersamanya, Mohd Faris Mohd Noor, 21 juga tidak mengaku bersalah atas tuduhan secara bersama gagal memberikan keterangan beberapa wayar yang sudah diproses berada dalam milikan mereka.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil dan boleh didenda sehinggan RM1,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan bersalah.
Kedua-duanya masing-masing turut dituduh menagih Metamphetamine melalui ujian air kencing yang dijalankan pihak berkuasa.
Mahkamah membenarkan Hasrol diikat jamin RM11,000 manakala RM5,500 masing-masing dengan seorang penjamin.
Kes akan disebut semula 27 dan 29 April depan.