Ahad, 27 Mac 2011

Pelajar SPM ditahan

KOTA BHARU - Dua pelajar yang baru sahaja mengambil slip keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kelmarin terpaksa meringkuk di dalam lokap akibat positif dadah. 

Dua pelajar berusia 17 tahun itu ditahan Polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu petang kelmarin, dalam satu operasi yang dijalankan di kawasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra hasil maklumat awam kira-kira jam 6 petang hingga 9 malam. 

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, hasil aduan yang diterima pelajar terbabit dikatakan membaling botol semasa berada di kawasan lapangan terbang tersebut. 
“Polis mengambil tindakan dengan menahan dan melakukan ujian saringan air kencing kepada mereka termasuk 20 lagi yang ditahan. 

“Hasil mendapati tiga daripadanya positif ujian iaitu termasuk dua pelajar yang baru mengambil keputusan SPM dan seorang lagi seorang penganggur berusia 35 tahun,” katanya ketika ditemui semalam. 

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Perbarisan Sempena Peringatan Hari Polis ke 204 Peringkat IPD Kota Bharu. 

Walaupun hujan, IPD Kota Bharu tetap mampu mencipta sejarah dengan penglibatan seramai dua pegawai dan 54 anggota wanita di dalam perbarisan yang diketuai Inspektor Suhana Saad. 

Azham berkata, kedua-dua remaja berkenaan ditahan ketika mereka sedang melepak bersama beberapa rakannya. 

Katanya, remaja terbabit kini ditahan reman di lokap IPD Kota Bharu untuk siasatan lanjut. 

Menurutnya, siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...