Sabtu, 31 Mei 2014

13 komando ditahan reman

Gambar hiasan
Kota Kinabalu: Polis mengesahkan sudah menahan suspek utama dan merampas senjata api yang dipercayai digunakan dalam kejadian tembak hingga mengorbankan seorang anggota komando serta mencederakan dua pengawal sebuah pusat hiburan di bandar Lahad Datu, kelmarin.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata, suspek berusia 30-an kini ditahan reman bersama 12 anggota komando lain sehingga 4 Jun depan.
“Turut dirampas 13 laras senjata api, salah satunya dipercayai digunakan dalam kejadian tembak, semalam (kelmarin).
“Suspek yang juga anggota komando ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, semalam.

JENAYAH YANG TIDAK BERPERIKEMANUSIAAN !!!

Tangan putus ditetak lelaki bermotorsikal


BACHOK - Seorang lelaki kehilangan tangan kanan akibat ditetak sekumpulan lelaki yang dikenalinya dipercayai akibat dendam lama.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Abdul Hamid Che Ahmad berkata, mangsa yang beralamat di Besut, Terengganu dikatakan menunggang motosikal dari rumah arwah bapa saudaranya menuju ke rumah ibu mentuanya.

“Pada jam 8.45 malam 28 Mei lalu, mangsa yang berusia 43 tahun itu dibawa orang ramai yang melalui lokasi kejadian ke rumah ibu saudaranya dalam keadaan berlumuran darah dan tanpa tangan kanan.

Jumaat, 30 Mei 2014

DUA WANITA YANG DICULIK DI SABAH BERJAYA DISELAMATKAN


Kuala Lumpur, 30 Mei - Hasil kecekapan pegawai dan anggota Cawangan Khas PDRM serta bantuan yang diberikan oleh pihak berkuasa Filipina telah berjaya menyelamatkan dua wanita yang diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjata di sebuah pulau di Semporna, Sabah April lalu.

Kedua-dua mangsa, pelancong dari China Gao Huayuan, 29, dan pekerja resort Singgahmata Adventures Reef and Resort, Marcy Darawan@Mimi, 40, turut dilaporkan berada dalam keadaan sihat.

Ketua Polis Negara mengucapkan syabas dan tahniah di atas kejayaan tersebut melalui twitter rasmi beliau @KBAB51, sebentar tadi.

TERJUN KE DALAM SUNGAI SARAWAK SELEPAS LANGGAR ANGGOTA POLIS


Kuching, 30 Mei - Seorang penunggang motosikal melanggar anggota polis sebelum dia melarikan diri dengan terjun ke dalam Sungai Sarawak malam tadi.

Dia dipercayai berbuat demikian kerana menunggang motosikal yang dicuri.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching (Operasi), Supt Fauzilan Abdul Aziz berkata kejadian berlaku kira-kira 9.10 malam apabila beberapa anggota polis yang berbasikal di Lebuh Java menahan suspek.

"Suspek kemudiannya terjatuh sebelum dia bangun meninggalkan motosikalnya dan melarikan diri sambil dikejar beberapa anggota. Suspek kemudiannya dikesan terjun ke dalam sungai.

Khamis, 29 Mei 2014

Polis Buru Askar Tembak Rakan Di Lahad Datu


LAHAD DATU: Polis melancarkan operasi memburu seorang askar yang dipercayai terlibat dalam insiden tembakan di sebuah kedai di sini, awal pagi Rabu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, mereka telah mengenal pasti suspek dan sedang mempergiatkan usaha memburu askar tersebut yang dipercayai menembak rakannya itu kira-kira pukul 4.45 pagi.

"Kami telah mengenal pasti suspek dan akan terus menahannya sebaik saja dia ditemui," kata Hamza ketika dihubungi.

Hamza berkata, dua orang awam yang cedera dalam insiden itu dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan.

Rabu, 28 Mei 2014

BERTINDAK PERLU IKUT SOP DAN UNDANG-UNDANG

Penahanan Salah: Lima Peguam Menang Saman Terhadap Polis Dan Kerajaan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa penahanan lima peguam lima tahun lepas oleh adalah salah dan tidak sah.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk John Louis O'Hara mengarahkan Fadiah Nadwa Fikri, Murnie Hidayah Anuar, Puspawati Rosman, Syuhaini Safwan dan Ravinder Singh Dhalliwal diberi ganti rugi am RM15,000 serta ganti rugi teruk dan teladan berjumlah RM60,000 setiap seorang.

Beliau turut mengarahkan kesemua defendan membayar kos berjumlah RM60,000 kepada Fadiah, Murnie, Puspawati dan Syuhaini manakala Ravinder sebanyak RM40,000.

Dalam penghakimannya, O'Hara berkata penahanan kelima-lima peguam terjumlah kepada penahanan salah dan menafikan hak perlembagaan mereka serta akses untuk diwakili peguam.

Beliau berkata mahkamah mendapati keterangan DSP Judy Blacious Pereira atau Jude kerap berubah.


KEUPAYAAN POLIS PERLU SEIRING DENGAN PEMBANGUNAN NEGARA


Batu Pahat, 27 Mei - Pembangunan ekonomi dan sosial semasa memerlukan peningkatan keupayaan polis bagi membolehkan perkhidmatan itu berhadapan dengan persekitaran yang lebih kompleks, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata pasukan polis perlu diberikan prasarana yang terbaik bagi membolehkannya berada di tahap selari dengan pembangunan negara.

"Kelengkapan logistik dan prasarana yang terkini merupakan satu keperluan dalam melahirkan perkhidmatan polis berkelas dunia," katanya pada majlis perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat bernilai RM61 juta di sini hari ini.

Perkhidmatan polis, katanya, tidak boleh ketinggalan kerana persekitaran dunia ketika ini begitu dinamik dalam serba serbi menyentuh pelbagai fenomena sosial dan penjenayahan.

Selasa, 27 Mei 2014

Polis Bongkar Makmal Proses Ketamin


KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia buat pertama kalinya membongkar kegiatan memproses dadah jenis ketamin yang didalangi dua lelaki tempatan dalam serbuan di sebuah kondominium di Taman Sri Hartamas, di sini, Jumaat lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, selain penahanan dua lelaki berusia 44 dan 51 tahun itu, polis turut merampas ketamin bernilai RM720,000 dan 200 biji pil ecstasy.
"Pada Jumaat lalu, pukul 7.30 malam, kita (polis) menahan dua lelaki itu di dalam sebuah kereta jenis Myvi di Taman Mutiara, Cheras bersama tiga bungkusan plastik berisi dadah ketamin seberat 2,495 gram di bahagian but kereta," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur di sini, Isnin.

Awas Kempen Penipuan Internet Piala Dunia Fifa


KUALA LUMPUR: Penjenayah siber sedang merangka kempen penipuan dengan mensasarkan peminat bola sepak ketika tuan rumah Brazil membuat persiapan akhir untuk Piala Dunia 2014 Persekutuan Persatuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).
Aktiviti penipuan dalam talian juga sedang giat merangka laman web canggih meniru domain tulen Piala Dunia, penaja dan rakan kongsinya dan cuba memikat pengguna untuk berkongsi data peribadi mereka, seperti nama pengguna, kata laluan dan nombor kad kredit kata Kaspersky, peneraju utama perisian pengurusan keselamatan data komputer.

STING PDRM Rampas 16 Kg Heroin



JOHOR BAHARU: Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Polis Diraja Malaysia berjaya menumpaskan satu sindiket rangkaian pengedaran dadah melibatkan rampasan 16 kilogram heroin pada Ahad malam.


Menurut laman rasmi Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM), polis turut memberkas 25 suspek.Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mengesahkan perkara itu melalui laman Twitter rasmi beliau, turut mengucapkan tahniah atas kejayaan pasukan itu. 


Difahamkan operasi itu, yang bermula 7.30 malam dan berakhir 12 tengah malam tadi, diadakan di beberapa lokasi sekitar bandar raya Johor Baharu.



Satu sidang akhbar berhubung kes itu akan dibuat oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim pada Selasa di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor pada pukul 3 petang.

Isnin, 26 Mei 2014

POLIS NASIHAT ORANG RAMAI TIDAK BERKUNJUNG KE THAILAND BUAT SEMENTARA WAKTU


Arau, 26 Mei - Orang ramai khususnya penduduk Perlis dinasihatkan supaya tidak berkunjung ke Thailand untuk sementara waktu sebaliknya hadir memeriahkan temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-17 yang sedang berlangsung di negeri ini.

Ketua Polis Perlis, Datuk Zull Aznam Haron yang memberi nasihat itu berkata mereka boleh mengunjungi negara jiran itu apabila keadaan pulih.

"Keadaan keselamatan di negara (itu) sekarang tidak menentu. Apa-apa sahaja boleh berlaku. Jadi eloklah kita berada dalam negara," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau di sini, hari ini.

AL-FATIHAH : Anggota Polis Maut, Rakan Cedera Parah Dirempuh Penjenayah


TELUK INTAN: Seorang anggota polis Unit Rondaan Bermotor (URB) maut manakala rakan setugasnya cedera selepas dirempuh sebuah kereta dinaiki penjenayah di Batu 10, Parit Buntar menghala ke Alor Pongsu tengah hari Isnin. 

Lans Koperal Mohd Azuan Abdullah, 25, maut di tempat kejadian, manakala rakan setugasnya yang belum dikenal pasti identitinya cedera parah. Ketua Polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata Allahyarham MohdAzuan yang berasal dari Kulai, Johor akan melangsungkan perkahwinan pada Ahad ini. 

Ahad, 25 Mei 2014

EMPAT DIDAKWA SOKONG KEGANASAN BERDEPAN HUKUMAN PENJARA SEUMUR HIDUP ATAU 30 TAHUN


Empat individu dihadapkan ke mahkamah majistret semalam atas pertuduhan membabitkan diri, mempromosi dan menyokong aktiviti keganasan serta kegiatan kumpulan militant di luar Negara.

Di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, seorang suri rumah beranak lima, Azizah Md Yusof, 54, dihadapkan atas dua kesalahan memberi sokongan kepada berlakunya perbuatan pengganas melalui laman social Facebook, bulan lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memberi sokongan terhadap berlakunya perbuatan pengganas melalui Facebook ‘Wan Jah’.

PEMUDA ANAK YATIM PIATU MATI DITIKAM DIRUMAHNYA


TANAH MERAH - Seorang pemuda berusia 23 tahun, yang juga anak yatim piatu mati selepas ditikam pada bahagian pinggang di rumahnya di Kampung Kuala Paku, Gual Ipoh, dekat sini, petang kelmarin.

Pada kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa seorang penoreh getah, Thana Aizuddin Mohd Sukri ditemui tertiarap dan berlumuran darah di atas tanah di tepi rumahnya.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Abdul Aziz Mahmud berkata, mangsa ditemui tidak berbaju dan hanya berseluar jeans oleh adiknya, Kamalrul Haffiz, 17, yang baharu pulang ke rumah.

“Ketika sampai di rumah, adik mangsa mendapati ada kesan tompokan darah di atas lantai garaj rumah dan mengekori kesan darah itu sebelum dia menemui abangnya tertiarap di atas tanah di tepi rumah.

“Ketika itu, mangsa dikatakan sedang nazak dan tidak boleh bercakap sebelum meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya, semalam.

Abdul Aziz memaklumkan, jarak mangsa ditemui dengan garaj kira-kira tujuh meter, manakala rumah mangsa terletak kira-kira 10 meter dari jalan utama Kusial ke Gual Ipoh.

Polis Pantau Mereka Yang Cuba Jadi Malaysia Tapak Sarang Pengganas


TELUK INTAN, 24 Mei (Bernama) -- Pihak yang cuba menjadikan negara ini sebagai tapak atau sarang kegiatan militan akan dijejaki dan diburu 'hingga ke lubang cacing' oleh pasukan keselamatan negara.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata polis akan memburu mereka yang disyaki terbabit dalam kegiatan militan sama ada rakyat Malaysia atau dari luar negara.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai empat individu yang didakwa mengikut Kanun Keseksaan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan militan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Port Dickson, Negeri Sembilan dan Taiping, Perak semalam.

Menyentuh sama ada suri rumah Azizah Md Yusof, 55, yang dakwa melakukan kesalahan itu di Bahagian E8, Cawangan Khas, Tingkat 24, Menara 2, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, bekerja di Bukit Aman, Ahmad Zahid berkata dia tidak bekerja di situ.

Sabtu, 24 Mei 2014

POLIS KENAL PASTI ANGGOTA MILITAN BERSEMBUNYI DI MALAYSIA


George Town, 23 Mei - Polis telah mengenal pasti beberapa lagi anggota militan yang masih bersembunyi di Malaysia bagi mengelak ditahan berikutan dikehendaki polis antarabangsa (Interpol) kerana pembabitan dalam kegiatan pengganas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis menjalankan pemantauan berterusan dalam usaha mengesan anggota militan terbabit.

"Ada yang telah kami kenal pasti dan sedang kesan mereka, untuk makluman hari ini empat militan yang kami tahan baru-baru ini dituduh di mahkamah mengikut Kanun Keseksaan.

"Pemantauan terhadap mereka (militan) dijalankan secara berterusan dan jangan ingat polis tidak buat apa-apa, tetapi saya tidak boleh dedahkan semua kerana dalam siasatan," katanya kepada pemberita selepas taklimat sempena pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, di sini hari ini.

Kerajaan kaji semula pengguna cermin gelap


KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan bersetuju untuk mengkaji semula aspek penggunaan cermin gelap, termasuk peraturan sedia ada, pengkuatkuasaan, keselamatan dan kepenggunaan, kata Pemangku Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. 


Beliau, yang juga Menteri Pertahanan berkata bahawa Kementerian Pengangkutan sedia maklum mengenai pandangan dan maklum balas rakyat yang beranggapan peraturan dan undang-undang berhubung penggunaan cermin gelap ketinggalan zaman. 


"Susulan daripada pandangan dan maklum balas ini, saya ingin memaklumkan kementerian sedia mengkaji dan meminda semula peraturan penggunaan cermin gelap pada kenderaan. 

"Saya telah mengarahkan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi dan Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Long See Wool untuk menganjurkan bengkel khas bagi tujuan ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 



Jumaat, 23 Mei 2014

Perintah berkurung di Thailand


BANGKOK: Hanya beberapa jam selepas rampasan kuasa diisytiharkan, tentera Thailand mengumumkan beberapa langkah seperti perintah berkurung dan menghentikan program biasa dalam televisyen.
Majlis Pengekalan Keamanan dan Ketenteraman Awam, yang diwujudkan selepas rampasan kuasa itu, akan menyelia keadaan di negara itu. 
Majlis itu mengumumkan perintah berkurung di seluruh negara mulai 10 malam hingga 5 pagi dan kesemua stesen radio dan televisyen diarah menghentikan rancangan seperti biasa. 

Sebaliknya stesen siaran dan saluran program asing perlu menyiarkan bahan yang dibekalkan oleh tentera dengan sebahagian besar adalah lagu-lagu patriotik dan pengumuman oleh tentera dari masa ke semasa.

Majlis itu turut mengumumkan bahawa kerajaan sementara dibubarkan dan Perlembagaan digantung tetapi Dewan Senat, mahkamah dan pertubuhan badan-badan bebas boleh meneruskan fungsi masing-masing.

Kaji akta liputi ketum akan disegerakan

Georgetown: Kaki ketum pasti tidak senang duduk apabila satu kajian bagi meminda Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 akan dilakukan Kementerian Dalam Negeri untuk memantapkan lagi sistem perundangan negara dalam memerangi dadah.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pihaknya mengkaji semula akta terbabit dan antara perkara diberikan perhatian larangan penggunaan daun ketum kepada orang awam diletakkan dalam Jadual Pertama ADB 1952. 
“Dengan pindaan akta ini, hukumannya dapat ditingkatkan selain turut membenarkan penghapusan ladang ketum di seluruh negara daripada terus beroperasi,” katanya selepas melawat Caring Community House, di sini, semalam.

Khamis, 22 Mei 2014

TEMPOH 5 MINIT - RM165,000 DILARIKAN 4 SUSPEK


BESUT - Sekumpulan empat penjenayah bertopeng mengambil masa hanya lima minit untuk melarikan wang tunai RM165,000 selepas bertindak menarik keluar sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank dekat bandar Jertih di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, kejadian dipercayai berlaku antara jam 5.45 pagi hingga jam 6 pagi sebelum disedari seorang pengawal keselamatan yang bertugas meronda di kawasan berkenaan.

Menurutnya, pengawal keselamatan terbabit mendapati sebuah mesin ATM berada di atas jalan depan bank tersebut, manakala pintu cermin ruang mesin ATM itu pecah berselerak.

“Hasil pemeriksaan kamera litar tertutup (cctv) mendapati, empat suspek menggunakan kereta Proton Waja dipercayai untuk menarik dan memecahkan mesin ATM itu sebelum melarikan wang tunai yang ada,” katanya.

TAHNIAH - SAZALI DIJULANG ATLET TERBAIK MALAYSIA


JAGOAN bina badan, Sazali Samad dan ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan pada Anugerah Sukan Negara (ASN) 2013 yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara malam tadi.

Sazali dijulang sebagai Olahragawan Kebangsaan selepas kejayaannya meraih gelaran Mr. Universe untuk tahun kelima berturut-turut di Hungary pada November tahun lalu.

Ia merupakan anugerah Olahragawan Kebangsaan kali ketiga yang disandang Sazali selepas edisi 2000 dan 2006.

Lebih menarik, Sazali mengetepikan penerima Olahragawan Kebangsaan 2011 dan 2012 yang juga jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.

“Walaupun saya sudah dapat dua kali tetapi hendak menang bukan mudah kerana nak lawan dengan pencapaian yang dilakukan Chong Wei juga bukan mudah.

Rabu, 21 Mei 2014

TAHNIAH : ACP Wan Abdul Aziz kini Ketua Siasatan Jenayah Terengganu


KUALA TERENGGANU 16 Mei - Ketua Penolong Pengarah Urusetia, Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Asisten Komisioner Wan Abdul Aziz Wan Hamzah, 56, dilantik Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, berkuat kuasa semalam.

Beliau menggantikan Asisten Komisioner K. Manoharan yang akan mengambil alih jawatan yang dipegangnya di Bukit Aman.

Selain itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supritendan Md. Tahir Kassim bertukar ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dengan jawatan sama.

Tempat Md. Tahir kini diambil alih oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perlis,Supritendan, Fajarudin Agos.

Upacara penyerahan dan penerimaan tugas antara keempat-empat pegawai yang diadakan di IPK di sini turut disaksikan Ketua Polis negeri, Datuk Jamshah Mustapa. Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Hamzah Md. Jamil.

Selasa, 20 Mei 2014

10 SUSPEK KES SERANG , BUNUH DIBURU


Polis memburu 10 suspek kes serangan di Taman Sentosa pada Selasa lalu yang mengakibatkan seorang maut, manakala dua lagi cedera parah.

Dalam insiden tersebut, seorang pemandu lori yang menghadiri upacara memperingati kematian bapa saudaranya mati ditikam serta ditembak dua das oleh sekumpulan penyerang.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua suspek diburu adalah penjenayah berbahaya dan dipercayai masih berada dalam negara.

Sesiapa yang ada maklumat berhubung suspek diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-33712222 bagi membantu siasatan.

HATI-HATI: PENIPUAN MENGGUNAKAN PARCEL (BUNGKUSAN)


SCAM ALERT: Orang ramai diingatkan supaya tidak mudah percaya dengan tawaran oleh mana-mana individu yang hanya dikenali melalui media sosial untuk menerima bungkusan/parcel yang kononnya sebagai tanda persahabatan.

Orang ramai juga perlu membuat semakan dengan pihak berwajib (kastam atau syarikat kurier) dengan menghubungi nombor yang sahih bagi mendapatkan kepastian sama ada wujud atau tidak bungkusan/parcel seperti yang dimaksudkan. Sindiket penipuan yang memperdaya mangsa untuk mengeluarkan sejumlah wang yang didakwa bagi tujuan pembayaran kos bungkusan/parcel yang dikirim menggunakan taktik seperti berikut:

1. Mangsa berkenalan dengan sindiket melalui laman web sosial yang kononnya berasal dari negara-negara di United Kingdom. Mangsa kebanyakannya adalah wanita pelbagai bangsa yang bersendirian/kesepian.
2. Sebagai tanda persahabatan, sindiket akan menghantar bungkusan hadiah kononnya mengandungi barang kemas dan wang tunai kepada mangsa.
3. Mangsa kemudiannya dihubungi seseorang yang mengaku sebagai pegawai kastam di lapangan terbang atau syarikat kurier, mengatakan barang yang dihantar telah sampai dan ditahan kerana tidak membayar cukai, insurans atau wang tunai tidak diisytihar.
4. Mangsa diyakinkan pula dengan panggilan telefon oleh orang tempatan kononnya bungkusan/parcel tersebut telah sampai di Malaysia dan perlu membuat bayaran ‘clearance’.
5. Pembayaran perlu dibuat kepada sindiket melalui nombor akaun yang tertentu. Mangsa hanya sedar tertipu apabila barang yang dihantar tidak diterima.

Ahad, 18 Mei 2014

PENGAWAL KESELAMATAN MENYAMAR PEGAWAI JKM PALSU DICEKUP


Ipoh - Kegiatan licik seorang pengawal keselamatan yang menyamar sebagai pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mencuri barangan kemas serta wang tunai warga emas berakhir apabila dia ditahan polis minggu lalu.

Ketua Polis Daerah lpoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, modus operandi yang digunakan suspek ialah menyamar sebagai pegawai JKM untuk memasuki rumah mangsa yang kebanyakannya merupakan wanita warga emas dan bersendirian di dalam rumah.

Selain melarikan barangan kemas, suspek yang bertindak berseorangan turut melarikan wang tunai dalam 21 kejadian serupa di sekitar lpoh dan Batu Gajah melibatkan kerugian kira-kira RM75,000.

Sumber: Kosmo

GENG PECAH RUMAH AMERIKA LATIN TUMPAS


Shah Alam - Polis menumpaskan geng pecah rumah didalangi warga Amerika Latin dengan tertangkapnya lima suspek termasuk dua wanita Thailand dalam serbuan di sebuah kondominium di Taman Puteri, Cheras, Kajang, malam Rabu lalu.

Pelbagai barangan di-percayai hasil pecah rumah yang dijalankan kumpulan terbabit bernilai kira-kira RM60,000 turut dirampas.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, serbuan dilakukan susulan laporan daripada seorang pengerusi sebuah syarikat mendakwa rumahnya di Bukit Jelutung dipecah masuk pada 5 Mei lalu. 
Hasil intipan selama empat hari pihak polis menyerbu kediaman yang disewa kelima-lima suspek itu pada jam 1130 malam, sebelum menahan tiga suspek lelaki masing-masing dua warga Columbia dan seorang warga Mexico .

Pihak polis percaya telah menyelesaikan tiga kes pecah rumah di Shah Alam.

Sumber: Utusan Malaysia

Jumaat, 16 Mei 2014

TUKAR CERMIN GELAP: POLIS BAGI TEMPOH SEHINGGA 15 JUN INI

Tak Kompromi Isu Rasuah

Bukit Aman, 15 Mei – Pihak polis telah menetapkan tempoh sehingga 15 Jun ini kepada setiap pemandu untuk mematuhi spesifikasi penggunaan cermin gelap bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil terhadap mereka.

Ketua Trafik Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, SAC Mohd Fuad Abd Latiff berkata semua pemilik kenderaan yang bercermin gelap dan tiada kelulusan sah diwajibkan untuk menanggalkan lapisan filem gelap tersebut mulai hari ini.

Menurutnya, Operasi Cermin Gelap akan dilaksanakan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mulai 16 Jun ini dan pesalah akan dikenakan denda maksima RM300.

Khamis, 15 Mei 2014

Pemandu Peribadi Hadapi 484 Pertuduhan Pindah Harta Curi Lebih RM600,000


KLANG: Pemandu peribadi seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas lebih 400 pertuduhan menolong memindahkan harta curi membabitkan wang lebih RM600,000.

Saidina Azzuanira Saidina Othman, 43, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam tempoh sejam oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Fadhly Yaacob.

Tertuduh didakwa atas 484 pertuduhan menolong memindahkan harta curi iaitu wang berjumlah RM643,897.42 ke akaun bank milik perniagaannya, Mai Trading.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Hong Leong Bank Bhd cawangan Pelabuhan Klang di sini antara 3 Jan 2012 dan 30 Januari 2013.

Pengasas D'Herbs, Disamun Pembantu Rumah

KUALA LUMPUR  - Pengasas rangkaian produk kosmetik D'Herbs Healthy Sdn. Bhd. (D'Herbs), Datuk Aliff Syukri Kamarzaman, 25, kerugian ribuan ringgit apabila wang tunai dan barangan kemas miliknya dan isteri dilarikan oleh dua pembantu rumah mereka dalam kejadian di kediamannya di Seksyen 10, Kota Damansara di sini hari ini.


Kejadian itu hanya disedari kira-kira pukul 12 tengah hari ketika beliau pulang ke rumahnya untuk makan tengah hari.


“Sebaik tiba di rumah, saya memanggil mereka (pembantu rumah), namun tiada jawapan. Kerana rasa tidak sedap hati, saya terus meluru masuk ke dalam bilik mereka dan mendapati semua barangan telah tiada," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Rabu, 14 Mei 2014

Pengetua sekolah kena ragut depan rumah


KULIM - Seorang pengetua sebuah sekolah menengah di sini berhadapan saat mencemaskan apabila cermin tingkap keretanya dipecahkan dua lelaki bermotosikal lalu melarikan beg tangannya dalam kejadian di halaman rumahnya di Kampung Tunku Putra, Kilang Lama di sini.
Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang semalam, pengetua wanita berusia lingkungan 50-an itu dikatakan baru tiba di perkarangan rumahnya dari sekolah dalam cuaca hujan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Chin Su Song berkata, wanita yang belum sempat keluar dari keretanya itu menjerit meminta tolong tetapi suaminya, seorang pesara yang berada di dalam rumah, tidak mendengar jeritan itu.

TITISAN HUJAN MENGIRINGI PERPISAHAN KP SELANGOR


Hujan lebat yang menghiasi suasana pilu mengiringi salam perpisahan Dato' Pahlawan Mohd Shukri b. Dahlan bersama Datin Umminajah bt. Salleh ketika diarak keluar meninggalkan perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor oleh Pegawai-pegawai Kanan.

Kesedihan tergambar apabila beliau menerima lambaian perpisahan daripada warga Kontinjen Selangor yang turut bersama-sama dalam suasana hujan sebagai menghormati jasa-jasa beliau di Kontinjen ini.

Beliau turut diberi penghormatan terakhir oleh 'Guard Turn-Out' sebelum menaiki kenderaan untuk meninggalkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Polis cari tujuh lelaki bantu siasatan


KUALA TERENGGANU - Polis mencari seorang lelaki berusia 33 tahun dipercayai terlibat dalam dua kes bunuh dan satu kes culik serta enam individu lain kerana melakukan pelbagai kesalahan jenayah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, suspek dikenal sebagai Kri Pok Jeng atau Syukri Mohamad Abiah beralamat di Felda Bukit Goh, Kuantan.

“Suspek dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung dua kes bunuh di Kemaman dan Marang dan satu kes culik di Kuala Terengganu,” katanya.

Menurut Manoharan, enam lagi suspek yang dikehendaki polis ialah Mohd Amir Che Ya, 26; Ismail Mustafa,28; Mohd Zainuddin Rosdi, 25; Shamsueffendi Mohammad, 34; Wan Nazri Wan Junaidi, 32 dan Ismail Deraman, 48.

Beliau berkata, JSJ negeri sebelum ini melancarkan Ops Cantas Khas terhadap beberapa suspek yang terlibat jenayah kekerasan sejak 2012 dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.

Selasa, 13 Mei 2014

18 Ejen Gores Dan Menang Ditahan


SEREMBAN: Polis menahan 18 orang termasuk tiga wanita dalam operasi membanteras kegiatan sindiket penipuan gores dan menang yang semakin berleluasa di sekitar bandar ini, pagi Isnin.
Operasi dua jam mulai 10 pagi itu dijalankan sepasukan anggota polis dari Jabatan Sisatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Supt Ramli Mohd Nor berkata 10 orang daripada mereka ditahan di Pasar Besar Seremban, empat di Jalan Pasar manakala selebihnya di Jalan Datuk Datuk Bandar Tunggal.
Mereka yang ditahan berumur antara 20-an dan 30-an dan akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
"Operasi dijalankan berikutan aduan orang ramai serta membabitkan kerugian bernilai ratusan ribu ringgit. Kita bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi memastikan kegiatan sindiket itu ditangani hingga ke akar umbi," katanya di sini.
Ramli berkata polis turut menerima aduan sindiket itu bukan hanya memperdaya, malah turut melakukan ugutan kepada orang ramai.

SELANGOR DAPAT KETUA POLIS BARU

Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Mohamad Fuzi Harun menyaksikan penyerahan Tugas oleh Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan (kiri) dan Ketua Polis Selangor yang baru Datuk Abdul Samah Mat (kanan) pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam pada Isnin.

Abdul Samah Ketua Polis Selangor Baharu

SHAH ALAM: Datuk Abdul Samah Mat menjadi Ketua Polis Selangor yang baharu berkuat kuasa Rabu ini, menggantikan Datuk Mohd Shukri Dahlan yang bersara wajib.
Majlis serah terima tugas antara mereka itu diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini dengan disaksikan Pengarah Jabatan Pengurusan Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, Datuk Mohamad Fuzi Harun.
Abdul Samah, 57, sebelum ini memegang jawatan Ketua Pengarah Bahagian Perlindungan di Jabatan Perdana Menteri selama tujuh bulan dan pernah menjawat jawatan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Undang-undang dan Penyiasatan) Bukit Aman dari tahun 2012 hingga Oktober 2013.
Mohd Shukri pula sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Polis Perak sebelum berpindah ke Selangor dan berkhidmat selama hampir lapan bulan.
"Saya akan memberi lebih fokus kepada keselamatan awam dan pencegahan jenayah selain meningkatkan kualiti perkhidmatan supaya rakyat mendapat layanan yang mesra dan anggota pula dapat bertugas dengan selesa," katanya kepada pemberita kemudiannya.
Mohd Shukri pula berkata sepanjang berkhidmat, sebanyak 11.73 peratus kadar jenayah dapat diturunkan dan menganggap ia merupakan satu pencapaian yang membanggakan sebelum beliau meninggalkan dunia kepolisan.

Warga emas disamun, ditetak di Alor Setar

Gambar hiasan
ALOR SETAR - Seorang warga emas cedera di kepala dan tangan dalam kejadian samun di rumahnya di Jalan Pegawai di sini malam tadi.
Kejadian berlaku kira-kira 9 malam apabila Che Aznah Mahmud, 60, yang baru selesai menunaikan solat Isyak didatangi seorang individu yang bersenjatakan pisau dan menutup mukanya dengan kain pelikat dan mengugutnya supaya menyerahkan wang dan barang kemas.
Adik mangsa, Mohamad Azmi Mahmud, 50, berkata, dia bergegas ke rumah kakaknya yang terletak berhampiran apabila mendengar kakaknya menjerit meminta tolong.

SPRM siasat dakwaan salah laku pelantikan syarikat di bawah HRDF


KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat dakwaan salah laku berhubung pelantikan syarikat penyedia latihan bagi program Pengiktirafan Pembelajaran Terdahulu (RPL) di bawah Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF).
Pengarah Penyiasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali memberitahu Bernama bahawa agensi itu akan menyiasat dakwaan itu daripada setiap sudut.
"Kami akan meneliti setiap aspek tentang dakwaan itu terutama jika berlaku amalan rasuah," kata beliau.
Mustafar diminta mengulas laporan mengenai dakwaan itu, yang didedahkan seorang pemberi maklumat, bahawa berlakunya salah laku dalam pelantikan syarikat penyedia latihan dan penyingkiran ketua pegawai eksekutifnya yang membantah pelantikan syarikat itu.

Isnin, 12 Mei 2014

PDRM LULUS 50,000 PERMOHONAN PERJAWATAN POLIS BANTUAN


George Town, 12 Mei - Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah meluluskan 50,000 permohonan perjawatan anggota polis bantuan di seluruh negara sejak 2011.

Pengarah Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah Datuk Ayub Yaakub berkata daripada jumlah itu, sebanyak 20,000 orang telah mengisi kekosongan perjawatan dalam pelbagai sektor agensi kerajaan dan swasta di negara ini.

"PDRM menyarankan agensi terlibat membuat perancangan dalam menempatkan anggota polis bantuan yang diluluskan mengikut keperluan semasa dan kapasiti kawasan penugasan di premis masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Penyerahan Sijil dan Pemakaian Pangkat kepada 36 anggota polis bantuan Ivory Properties Group Berhad di sini, hari ini.

Ayub juga mengingatkan majikan supaya menyelidik latar belakang calon polis bantuan dengan teliti selain melakukan pemantauan secara berkala meliputi aspek disiplin dan pelaksanaan tugas bagi memastikan objektif penubuhan pasukan itu tercapai.

BERNAMA

AMBIK KAU : Dipenjara 4 tahun ragut RM50


KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki dihukum penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas didapati bersalah meragut beg tangan seorang wanita dan melarikan RM50.

Muhammad Zairuzi Zahri, 21, yang beralamat Kampung Binjai Simpang Empat, Chendering mengaku bersalah meragut beg tangan dari raga motosikal yang ditunggang Norlilawati Abd Rahman, 53, di hadapan taska Panji Alam pada jam 6.30 pagi pada 24 April lalu.

Tertuduh mengaku melakukan kesalahan itu di hadapan Hakim Wan Norzanuar Wan Ahmad.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang ketika itu dalam perjalanan ke tempat kerja di Kolej Komuniti Kuala Terengganu dengan menaiki motosikal sebelum tiba-tiba dihampiri seorang lelaki menaiki sebuah motosikal dan terus menyamun beg tangannya sebelum melarikan diri.

Ahad, 11 Mei 2014

PENINGKATAN TANGKAPAN DAN RAMPASAN DADAH DI KELANTAN


PASIR MAS: Polis Kelantan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM8.8 juta dalam tempoh Januari hingga Mei, kata Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim.

Beliau berkata jumlah rampasan itu meningkat berbanding hanya RM800,000 bagi tempoh sama tahun lepas, mencerminkan usaha giat polis Kelantan membanteras kegiatan itu.

"Memandangkan negeri ini berada di sempadan (Malaysia-Thailand) kita dapati ada pembolosan terutamanya dari segi pengedaran dadah dari negara jiran," katanya kepada pemberita selepas melakukan Ops Cantas di sini, Sabtu malam.

Katanya dalam tempoh itu sebanyak 200,000 buah kenderaan yang keluar masuk sempadan telah diperiksa.

Beliau berkata dalam Ops Cantas melibatkan 15 pegawai dan 35 anggota itu, sebanyak 300 buah kenderaan diperiksa dan tiga individu ditahan kerana didapati positif dadah hasil ujian air kencing.

"Seorang daripada mereka didapati memiliki 15 biji pil methamphetamine," katanya.

Sabtu, 10 Mei 2014

Pengedar dadah sasar pelajar sekolah


MACHANG - Lima daripada 38 kes jenayah membabitkan pelajar sekolah di Kelantan sejak Januari hingga April lepas disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, kerana disyaki menjadi pengedar.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Senior Assisten Komisioner Datuk Mazlan Lazim berkata dua kes sedang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

"Sementara tiga kes lagi disiasat di bawah Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya 1952 (hukuman maksimum penjara lima tahun dan sembilan kali sebatan, jika sabit kesalahan)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan upacara penutup Latihan Tahunan Kor Kadet Polis Kontinjen Kelantan di Jeram Linang di sini hari ini.

Penjenayah Guna Kuku Kambing Umpil Pintu


SUBANG JAYA: Empat lelaki bersenjatakan parang dan kuku kambing melarikan wang tunai kira-kira RM30,000 dari sebuah premis pengurup wang di Jalan SS15/5A, Subang Jaya, pagi Jumaat.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Tan Ah Chua berkata, dalam kejadian 8.45 pagi itu, tiga daripada empat suspek memasuki premis itu setelah mengumpil pintu menggunakan kuku kambing dan mengugut seorang pekerja yang berumur 50 tahun supaya menyerahkan wang.
Seorang lagi suspek berada di dalam kereta memerhatikan keadaan di luar premis.
"Setelah mendapatkan wang, kesemua suspek keluar daripada premis itu dan turut melarikan pekerja berkenaan dengan menaiki Proton Waja berwarna emas.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...