KUALA LUMPUR: Keselamatan di negeri-negeri yang
bersempadan dan kawasan sempadan negara seharusnya diletakkan di bawah ketua
polis negeri, supaya segala operasi melibatkan agensi-agensi penguat kuasa
terlibat dapat diselaraskan bawah satu arahan.
Bekas
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Polis
Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Wira Ayub Yaakob yang mencadangkan perkara itu
berkata, ketua polis negeri haruslah diberikan kuasa untuk melakukan segala
program, tindakan dan operasi.
"Melalui 'kuasa' ini, seluruh agensi dapat memainkan peranan masing-masing di
bawah satu arahan. Ia akan memupuk semangat integrasi nasional antara agensi
dalam memastikan keberkesanan keselamatan sempadan supaya tidak longgar,"
katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.