Rabu, 29 Mei 2013

Anak Menteri kabinet kerugian RM10,000 akibat diragut

Gambar hiasan

AMPANG JAYA - Seorang anak Menteri kabinet kerugian kira-kira RM10,000 selain cedera di lutut selepas wanita itu menjadi mangsa ragut di tempat letak kenderaan sebuah pusat beli-belah di sini semalam.
Ketika kejadian pada pukul 11.50 pagi itu, mangsa diragut oleh seorang penumpang sebuah kereta Proton Satria ketika dia sedang memindahkan barang-barang yang dibeli dari troli untuk dimasukkan ke dalam but kereta Suzuki Swift miliknya.
Suspek itu terus merentap beg tangan dipegang mangsa sebaik penumpang hadapan kereta tersebut menurunkan cermin tingkap kereta warna menghampiri mangsa.
Suspek itu berjaya melarikan beg tangan yang berisi wang tunai berjumlah RM5,000, iPad dan iPhone milik mangsa.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan ketika ditemui pemberita hari ini berkata, polis kini sedang memburu dua orang suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian ragut itu. - KOSMO!

Polis Aceh kaki judi kena sebat


Hukuman di Masjid Besar Sabang di hadapan beratus pemerhati

Banda Aceh: Seorang pegawai polis disebat di khalayak ramai di Aceh semalam kerana melanggar undang-undang syariah, menjadikannya penguat kuasa undang-undang pertama menerima hukuman itu.

Ketua unit jenayah umum di Pejabat Peguam Sabang, Darwin, memberitahu Jakarta Globe bahawa Brig Irwanuddin disebat enam kali kerana berjudi di daerah Aceh Basar. Dia adalah anggota polis pertama dihukum kerana melanggar “kanun” sejak wilayah itu melaksanakan undang-undang syariah di sesetengah daerah. 


Hukuman sebat ke atas Irwanuddin dilakukan di Masjid Besar Sabang di hadapan beratus pemerhati dari semua wilayah. KLIK

Isnin, 27 Mei 2013

KEDAI RUNCIT DISAMUN DIPEKAN BUKIT PAYONG


Diacu pisau pemotong daging
Nurul Hidayah (kanan) dan rakannya, Siti Norhasmida Yusof melakonkan semula
 detik cemas ketika disamun, malam semalam
MARANG – Seorang lelaki bersenjatakan pisau pemotong daging berjaya melarikan wang tunai berjumlah RM2,700 dalam kejadian samun di sebuah kedai runcit berdekatan sebuah bank di Pekan Bukit Payung, dekat sini, malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.15 malam itu, suspek yang memakai topi keledar itu mengacukan senjata tajam ke arah perut seorang juruwang wanita yang ketika itu berada di kaunter pembayaran kedai runcit tersebut.

Nurul Hidayah Nordin, 22, berkata, lelaki yang turut menggalas sebuah beg sandang itu menunggang sebuah motosikal jenis Modenas Kriss.

Ahad, 26 Mei 2013

KERJASAMA MASYARAKAT DIGEMBLENG DALAM JABATAN PENCEGAHAN JENAYAH


Jabatan Pencegahan Jenayah yang baru ditubuhkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melibatkan masyarakat umum secara langsung dalam usaha pencegahan jenayah di seluruh negara.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pengumuman secara terperinci mengenai peranan dan fungsi jabatan itu akan dibuat dalam masa terdekat.

"Saya akan umumkan bersama-sama dengan pengumuman ketua-ketua jabatan pencegahan Bukit Aman dan di setiap kontinjen negeri," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata apa yang boleh dikatakan setakat ini ialah kerjasama masyarakat umum akan digembleng untuk bersama-sama PDRM dalam usaha mengurangkan kadar jenayah sejajar dengan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

MEDIA SOSIAL KDN BEKERJASAMA DENGAN SKMM, CYBER SECURITY BANTERAS KANDUNGAN LANGGAR UNDANG-UNDANG


Bagan Datoh, 25 Mei - Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta Cyber Security Malaysia untuk mengambil langkah segera membanteras penyaluran kandungan menyalahi undang-undang dalam media sosial oleh
kumpulan 'tentera siber' tertentu.

Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah segera itu bagi memastikan maklumat yang disampaikan oleh individu atau kumpulan siber menerusi pelbagai media sosial seperti Facebook, Twitter serta blog adalah telus dan benar.

"Apa yang menjadi rungutan adalah kandungan laman sosial dan blog termasuk oleh kumpulan Red Bean Army adalah kerana kandungan itu menyentuh perkara yang termaktub dalam Akta Hasutan dan (isu) perkauman yang sensitif serta bersifat fitnah (iaitu) terkeluar daripada prinsip undang-undang," katanya kepada
pemberita di sini hari ini.

SUSPEK HINA SULTAN TERENGGANU DALAM FACEBOOK DITAHAN


Cyberjaya, 25 Mei - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah berjaya mengesan suspek yang menghina DYMM Sultan Terengganu di laman Facebook-nya. Dengan kerjasama Polis, suspek berkenaan telah ditahan untuk disoalsiasat.

Jika didapati bersalah, dia boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau satu tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

SKMM memandang serius terhadap penyalahgunaan media sosial untuk memuatnaik kandungan yang berunsur menghina terutamanya institusi DiRaja Malaysia.

"Undang-undang negara berkuatkuasa tidak kira di mana-mana, baik di luar mahupun di dalam talian. Jenayah tetap jenayah, walaupun di dalam media sosial," kata Pengerusi SKMM, Dato' Mohamed Sharil Tarmizi.

"Pengguna media sosial perlu sedar bahawa mereka tidak sekebal seperti yang disangkakan. Oleh itu, kami menyeru kepada orang ramai supaya berhati-hati dan bersikap lebih bertanggungjawab semasa berkomunikasi di alam maya. Sesiapa yang melanggar lunas undang-undang akan dibawa ke muka pengadilan," tambah Dato' Sharil.

Jumaat, 24 Mei 2013

RM70,000 lesap kejar aset RM50j


Foto
Shah Alam: Gelap mata kerana ingin memiliki aset bernilai lebih RM50 juta, seorang lelaki berputih mata apabila terpaksa menanggung kerugian sehingga RM70,000 selepas melakukan transaksi wang 20 kali kepada beberapa wanita yang hanya dikenali melalui perbualan telefon bermula Ogos 2011 sehingga Februari tahun lalu.
Bagaikan dipukau, duda yang hanya mahu dikenali sebagai Din, 47, melakukan transaksi pertama sebanyak RM3,000 kononnya bagi menampung kos perubatan seorang wanita misteri bernama Nur Heliza Helmi iaitu sepupu kepada seorang wanita lain dikenali Saodah di Hospital Singapura dan ia kemudian berlarutan kepada bantuan kewangan kepada Saodah.
Din berkata, Saodah sering mengadu mengenai masalah kewangan yang dihadapi menyebabkan dia yang bersimpati melakukan transaksi minimum RM5,000 kepada Saodah sebelum menyedari ditipu apabila wanita itu enggan berjumpa dengannya selain gagal membayar semula pinjaman itu.

Bagaimanapun, wanita itu memberi tawaran untuk memberi aset miliknya berharga RM50 juta sebagai membayar hutang dan membalas budi baik lelaki itu.

133,000 MyKad hilang dalam tempoh tiga bulan


PUTRAJAYA: Kehilangan 133,000 MyKad dalam tempoh tiga bulan iaitu dari Januari hingga Mac tahun ini menimbulkan kebimbangan kepada kerajaan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. 

Menyifatkan jumlah itu agak tinggi, Ahmad Zahid berkata, kehilangan MyKad, walaupun tidak disengajakan, menyebabkan ia boleh diguna untuk tujuan jenayah. 

"Apa yang membimbangkan kami ialah jika kehilangan itu mempunyai kaitan dengan sindiket. Kami khuatir MyKad ini diguna untuk pelbagai tujuan terutama jenayah," katanya kepada pemberita selepas melawat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), di sini, hari ini. 

Polis tubuh pasukan khas siasat kematian tahanan di lokap


KUALA LUMPUR: Pihak polis menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat punca kematian tahanan ketika berada di lokap Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada 21 Mei lalu. 

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, siasatan terperinci akan dijalankan berhubung kematian seorang tahanan, Dharmendran Narayanasmy, 32 ketika berada di lokap di sini, kelmarin. 

Beliau berkata, berdasarkan bedah siasat yang dijalankan pasukan perubatan Hospital Kuala Lumpur semalam, mangsa mengalami kesan jenayah fizikal dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

"Saya memberi jaminan kepada keluarga mangsa dan masyarakat bahawa pihak polis akan menjalankan siasatan secara telus dan adil. 

"Kita tidak akan melindungi mana-mana pegawai dan anggota polis yang terbabit menangkap dan menyoal siasat mangsa," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur di sini, hari ini. 

Dua anggota polis mengaku tidak bersalah tuduhan rasuah


IPOH: Dua anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap dua pertuduhan iaitu meminta dan menerima rasuah membabitkan wang tunai RM15,000. 

Asisten Superitendan Ng Swie Chait, 34, dan Lans Koperal Detektif Mohd Syafiq Omar, 29, dituduh secara bersama melakukan perbuatan itu di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini antara 10 malam hingga 11 malam, 30 Mac 2011. 

Bagi pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh yang bertugas di jabatan berkenaan didakwa meminta RM15,000 daripada Kong Wan Heng dan isterinya Leong Suet Lai bagi membebaskan Kong yang ditahan berkaitan kes jenayah dan memulangkan barang kemas yang dirampas daripada siasatan kes. 

Khamis, 23 Mei 2013

"SHARING IS CARING"


Spiked Drinks adalah minuman yang telah dimasukkan dengan bahan asing seperti dadah atau alkohol tanpa pengetahuan pemilik minuman tersebut atas tujuan jahat seperti ingin merogol, melakukan rompakan, penculikan, sabotaj kepada ahli sukan, juga sebagai hiburan.

Seseorang yang minum spiked drinks mungkin tidak dapat mengawal kelakuannya sendiri; berasa mengantuk, keliru, sangat pening sehingga mendapati sukar untuk bercakap atau bergerak.

WANITA sering dijadikan sasaran utama. Namun sebenarnya, ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira jantina. Ia kerap berlaku di kelab-kelab malam, parti dan juga ketika berjanji temu terutama dengan orang yang baru pertama kali berjumpa.

Berikut adalah tips bagaimana untuk mengelak daripada menjadi mangsa Spiked Drinks:

PERHIMPUNAN HARAM HALANG POLIS TUMPU PENCEGAHAN JENAYAH


Kuala Lumpur, 22 Mei - Sikap penganjur dan peserta perhimpunan yang tidak mematuhi syarat-syarat Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 menyukarkan polis untuk menumpukan tugasan hakikinya menjaga ketenteraman awam dan membanteras jenayah. 

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata sikap penganjur yang tidak memaklumkan mengenai perhimpunan dan tidak berbincang dengan pihak polis adalah antara tindakan yang tidak mematuhi syarat dalam APA. 

Akibatnya, beliau berkata pasukan polis terpaksa mengambil langkah keselamatan yang lebih dengan menggerakkan anggota pasukan di satu kawasan dalam jumlah yang besar. 

"Kerana ingin menjaga ketenteraman awam di perhimpunan itu, kita terpaksa tempatkan ramai anggota kerana khuatir jika ada kumpulan lain yang menentang perhimpunan itu hadir mengadakan demonstrasi dan akhirnya berlaku pergaduhan," katanya. 

PEMBUNUH SOSILAWATI KE TALI GANTUNG


Shah Alam, 23 Mei - Mahkamah Tinggi di sini hari ini mendapati bekas peguam N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya bersalah membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain tiga tahun lepas, dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati. 

Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan sedemikian selepas berpuas hati bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. 

Pathmanabhan serta tiga pekerja ladang iaitu T. Thilaiyalagan, R. Matan dan R. Kathavarayan didakwa membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44. 

TINGGALKAN RUMAH ANDA DENGAN SELAMAT


Sempena musim cuti Hari Wesak dan persekolahan yang bakal tiba, tentunya ada antara kita yang merancang balik ke kampung atau membawa keluarga makan angin. Anda dinasihatkan mengambil langkah-langkah keselamatan berikut sebelum meninggalkan rumah:

1. Pastikan pintu dan tingkap rumah ditutup dan dikunci dengan ibu kunci (padlock) yang tidak mudah dipecah atau diumpil.

2. Pastikan lampu di sekeliling rumah (depan/belakang) dipasang mulai jam 6.00 petang hingga 7.00 pagi (menggunakan auto timer) setiap hari. Pastikan alat penggera dipasang dan berfungsi dengan baik (jika ada).

3. Pastikan alat keselamatan tambahan seperti rantai dengan ibu kunci (padlock) yang dipasang di tempat yang dianggap mudah dipecah masuk seperti pintu pagar hadapan dan belakang,
pintu besi (grill) hadapan dan belakang rumah. Alat tersebut harus dipasang sebelum meninggalkan rumah.

Selasa, 21 Mei 2013

Pengawal keselamatan PLKN ditahan bantu siasatan lebih 200 telefon bimbit pelatih hilang


MELAKA - Seorang pengawal keselamatan di sebuah kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Alor Gajah ditahan bagi membantu siasatan kehilangan lebih 200 unit telefon bimbit milik pelatih di kem itu membabitkan kerugian kira-kira RM57,000.
Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, lelaki berusia 40 tahun itu ditahan di rumahnya di Kota, Rembau, Negeri Sembilan pada 10 malam Sabtu lepas.
Beliau berkata, lelaki terbabit sebelum itu membuat laporan polis pada 14 Mei lepas berhubung kehilangan telefon bimbit tersebut yang disimpan dalam loker simpanan di kem berkenaan.
"Polis bagaimanapun mencurigai tindakan dan laporan yang dilakukan lelaki berkenaan sebelum menahannya bagi membantu siasatan kes itu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Jelasnya, lelaki terbabit kini ditahan reman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan.
"Kesemua telefon bimbit milik pelatih diserahkan kepada jurulatih kem berkenaan untuk disimpan dalam loker simpanan setiap Isnin sebelum diserahkan semula kepada pelatih pada Sabtu," ujarnya. - Bernama


Lagi aset Lembaga Wakaf Hindu P. Pinang hilang


PULAU PINANG 20 Mei - Jika sebelum ini wang dari tabung Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB) hilang, kini badan itu diselubungi ‘misteri’ lagi.

Kali ini melibatkan kehilangan tiga ketul emas seberat 1.6 kilogram bernilai keseluruhan RM250,000 yang disimpan di pejabat lembaga berkenaan sejak Disember lalu tetapi hanya didedahkan hari ini.

Setiausaha PHEB, P. Selva berkata, kejadian itu disedari selepas beliau membuat semakan inventori di pejabatnya yang terletak di tingkat 30, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) pada 26 Disember lalu.

“Ketika melakukan pemeriksaan pada sekitar pukul 9.30 malam pada hari berkenaan, saya mendapati ada keraguan mengenai jumlah ketulan emas yang disimpan berbanding dalam rekod," katanya di sini hari ini.

Menurut Selva, beliau membuat laporan di Balai Polis Jalan Patani pada Jumaat lalu selepas bermesyuarat dengan Pengerusi PHEB yang juga Timbalan Ketua Menteri II, P. Ramasamy dan ahli-ahli lain.

Ditanya mengapa mengambil masa yang terlalu lama untuk mendedahkan kes berkenaan yang berkaitan dengan kepentingan penganut agama Hindu di negeri ini, Selva memberitahu, pihaknya mahu menjalankan siasatan dalaman terlebih dahulu.

“Kami mula menyiasat selepas kehilangan emas berkenaan sehingga penghujung April lalu namun lembaga tidak bersedia untuk mendedahkan hasil siasatan," ujarnya.

Difahamkan terdapat lebih 10 ketul emas dan barangan berharga lain yang disumbangkan pelbagai pihak disimpan di situ.

Sebelum ini, PHEB dikejutkan dengan kes kecurian wang tabung sebanyak RM10,395 dan selepas itu berlaku kes sama membabitkan nilai RM68,000.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan laporan berkenaan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE


KUMPULAN PECAH MESIN ATM BERGERAK AKTIF ??

Tiga penjenayah gagal pecahkan mesin ATM

IPOH 20 Mei - Tiga penjenayah yang menggunakan tukul besi untuk memecahkan mesin pengeluaran automatik (ATM) sebuah bank di Chemor di sini awal pagi ini hampa setelah mereka gagal melarikan wang daripada mesin tersebut.

Meskipun berjaya membuka pintu bahagian bawah mesin ATM setelah mematahkan pemegangnya, penjenayah itu `mati akal’ apabila tidak dapat mencapai kotak wang dalam mesin berkenaan.

Isnin, 20 Mei 2013

Suami isteri dicari bantu siasatan kes penipuan jual rumah

Suami isteri dicari  bantu siasatan kes penipuan jual rumah
Pasangan suami isteri yang dicari polis bagi bantu siasatan
kes penipuan penjualan rumah di Selangor.

BANTING – Polis sedang mengesan suami isteri yang dipercayai dapat membantu siasatan kes penipuan penjualan rumah di Selangor melalui iklan yang dikesan aktif sejak November lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan berkata, polis menerima dua laporan daripada dua mangsa yang didakwa diperdaya melalui penjualan dua rumah di Bandar Saujana Putra.

Menurutnya, modus operandi mereka yang terlibat adalah dengan mengiklankan rumah untuk dijual.

“Suspek akan memperdayakan mangsa dengan meminta bayaran deposit sebanyak 10 peratus untuk jualan rumah.

AWAS! KES PENYAMARAN PEGAWAI POLIS BUKIT AMAN


Terkejut diugut 'polis Bukit Aman'
SERI KEMBANGAN – Seorang suri rumah dan ahli perniagaan terkejut menerima panggilan telefon seorang lelaki, mendakwa mereka terbabit skandal wang haram di Hong Kong serta akan dikenakan tindakan.

Ahli perniagaan, Ng Chean Khow, 51, berkata, dia dihubungi seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Mohamed Ismail Yusof dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman Rabu lalu.

Menurutnya, lelaki tersebut mendakwa, dia dan dua rakannya ditahan polis Hong Kong kerana terlibat dalam aktiviti wang haram selain mempunyai satu akaun bank di negara itu untuk kegiatan terbabit.

"Lelaki itu menghubungi saya tiga kali dan menakutkan dengan dakwaan saya akan ditangkap serta didakwa di mahkamah.

LAWATAN KERJA PERTAMA MENTERI DALAM NEGERI


BUKIT AMAN, 20 Mei – Menteri Dalam Negeri, YB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi melakukan lawatan kerja rasmi pertamanya ke Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman, petang tadi. 

Turut hadir adalah YB Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar, Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Y.Bhg Dato' Sri Abdul Rahim Mohamad Radzi, Ketua Setiausaha (KSU). 

Delegasi KDN diiringi oleh Inspektor Jeneral Tan Sri Dato' Sri Khalid Abu Bakar, Ketua Polis Negara bersama timbalannya, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin.

Tertembak rakan, buru kancil di hutan simpan


KUALA LIPIS - Gara-gara terlalu asyik memburu kancil, seorang pemuda, 23 tahun, tidak menyedari tertembak rakannya sendiri di kawasan hutan simpan Sungai Yu, Merapoh di sini, malam semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, berikutan insiden yang berlaku kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa, Nazri Hadi, 40, maut, parah pada muka dan dada serta maut serta merta di tempat kejadian.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati, suspek tertembak mangsa yang disangkanya seekor kancil.

"Suspek memberitahu ada terlihat dua mata melawan cahaya dipercayai haiwan buruan sebelum menembaknya. Haiwan itu bagaimanapun lari dan suspek bertindak mengejar serta melepaskan tembakan keduanya yang mengenai seekor kancil.

'Ustaz' dicari selesai kes rogol


Edar poster cari 'ustaz', selesai kes rogol
ALOR SETAR – DAP cawangan Bakar Bata akan mengedarkan sebanyak 15,000 keping poster gambar seorang lelaki yang digelar ‘ustaz’ untuk membantu dalam siasatan kes rogol seorang murid perempuan tahun enam, dua tahun lalu.

Penyelarasnya, Syed Araniri Syed Ahmad berkata, tujuan penyebaran gambar tersebut adalah bagi membantu pihak polis segerakan siasatan.

“Sebenarnya perkara ini sudah lama berlarutan. Media massa pun sudah menyiarkan gambar lelaki berkenaan menerusi akhbar dan televisyen. Sekarang ini, sudah setahun lebih, tidak nampak satu perkembangan pun berhubung kes itu.

Disamun 5 perompak 3 beradik rugi RM15,000


Nordin Manan
BANTING - Tiga beradik mengalami kerugian kira-kira RM15,000 apabila beberapa barang berharga, termasuk wang tunai dilarikan lima penjenayah, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.05 petang itu, dua daripada mereka menonton televisyen di ruang tamu, manakala seorang lagi mencuci  pakaian di tingkat atas kediaman sebelum  dikejutkan dengan kehadiran lima lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan berkata, suspek dipercayai berusia lingkungan 25 hingga 35 tahun itu berjaya memecah masuk kediaman terbabit berkenaan tanpa disedari mangsa.

"Empat daripada suspek berkenaan bertindak mengumpulkan semua mangsa di ruang tamu, manakala seorang lagi suspek menunggu di luar kediaman dipercayai sebagai pemerhati.

"Mangsa diugut supaya mendiamkan diri jika tidak mahu dicederakan sebelum suspek menyelongkar rumah berkenaan dan melarikan diri setelah menemui barang berharga," katanya.

Menurut Nordin, gerakan bagi mengesan lima suspek terbabit masih diteruskan dari semasa ke semasa.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta segera menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Cuping telinga putus ditetak


BESUT - Seorang pesawah putus cuping telinga kiri, selain cedera di bahagian pipi dan betis selepas dilibas dengan senjata tajam ketika menunggang motosikal di Kampung Gong Nangka dekat Apal, di sini, Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, mangsa Suhaidi Zakaria, 34, ditetak oleh dua lelaki yang juga menunggang sebuah motosikal.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, sebelum kejadian, mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dari sawah dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Pak Wong tidak jauh dari tempat kejadian.

Dikatakan apabila sampai di hadapan sebuah rumah di Kampung Gong Nangka, sebuah motosikal dinaiki dua suspek datang dari arah bertentangan lalu menghampiri motosikal mangsa sebelum menetak mangsa, kemudian melarikan diri.

Ahad, 19 Mei 2013

KEJADIAN PERGADUHAN DI KAWASAN BALAI POLIS LABIS

YDH Timbalan Ketua Polis Johor, Dato' Ismail Bin Yatim menyampaikan Sidang Media 

Pada 18 Mei 2013 11.40 pagi, Pengadu satu lelaki Melayu berumur 31 tahun membuat laporan polis menyatakan pada 18 Mei 2013 jam 11.00 pagi semasa sedang memandu keretanya di kawasan jalan Segamat – Labis, kereta pengadu telah ditahan oleh satu lelaki Cina yang tidak dikenali. 

Pengadu dan rakannya telah keluar dari kereta dan tiba-tiba telah datang satu lelaki Cina yang lain yang dikenali telah menetak kawan pengadu menggunakan parang serta mengalami kecederaan di bahagian belakang badan. 

Pengadu kemudian bersama seorang lagi rakannya yang bekerja sebagai anggota polis di Pasukan Gerakan Am Bakri, Muar. Berumur 47 tahun dan isterinya telah pergi ke Balai Labis untuk membuat laporan polis.

LEHER MANGSA DIKELAR MENYEBABKAN KEMATIAN

Gambar hiasan

SEREMBAN 18 Mei - Usaha memburu seorang lelaki yang dipercayai menggelar leher seorang pemuda sehingga mengakibatkan kematian mangsa di sebuah pusat karaoke di Terminal 2 di sini semalam sedang giat dilakukan oleh polis.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, lelaki berusia lingkungan 20-an dan berasal dari negeri ini dikatakan menghilangkan diri selepas kejadian itu.

"Polis sedang memburu suspek utama yang dipercayai mencederakan pemuda itu sehingga menyebabkan mangsa meninggal dunia dan kita percaya dia akan ditahan tidak lama lagi.

"Buat masa ini kita masih menyiasat punca dan motif serangan tersebut serta merayu sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat supaya segera menghubungi polis," katanya ketika dihubungi Utusan Online hari ini. - UTUSAN ONLINE

Dua termasuk anggota polis cedera ditetak di Labis

LABIS 18 Mei - Dua lelaki termasuk seorang yang dipercayai anggota polis cedera parah selepas diserang sekumpulan lima lelaki bersenjatakan parang di Balai Polis Labis di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi, kedua-dua mangsa yang berusia lingkungan 40-an cedera di beberapa bahagian badan selepas diserang kumpulan lelaki berkenaan.

Ketua Polis Daerah Segamat, Supritendan Mohd. Kamil Sukaimi berkata, kedua-dua mangsa bersama seorang lagi rakan mereka dan isteri anggota polis tersebut yang menaiki sebuah kereta dipercayai ditahan seorang lelaki ketika memandu di Jalan Labis-Segamat, kira-kira dua kilometer dari Balai Polis Labis.

Sabtu, 18 Mei 2013

ELAKKAN ANAK ANDA DARIPADA MENJADI MANGSA CULIK.


TIPS ELAKKAN ANAK ANDA DARIPADA MENJADI MANGSA CULIK.

Rentetan daripada beberapa kes kejadian culik kanak-kanak yang berlaku sejak akhir-akhir ini, Polis Pahang sisipkan beberapa tips-tips bagi mengelakkan anak anda daripada menjadi mangsa kejadian culik :

1) Katakan TIDAK!!

Kebiasaannya, orang yang tidak dikenali akan mengambil kesempatan dengan menghulurkan gula-gula dan hadiah atau mereka-reka cerita untuk menarik perhatian kanak-kanak. Nasihatkan anak anda untuk katakan tidak atau tolong jangan ganggu saya dan tinggalkan tempat itu secepat mungkin. Jangan mengambil apa-apa daripada orang yang tidak dikenali tanpa kebenaran ibu bapa.

KHALID MAMPU BAWA PDRM SEBAGAI PASUKAN KESELAMATAN BERTARAF DUNIA


Pengalaman luas Ketua Polis Negara (KPN) yang baharu di lantik, Tan Sri Abdul Khalid Abu Bakar dalam pasukan polis dan sebagai bekas timbalan KPN akan dapat meningkatkan keselamatan negara.

Tanggungjawab Abdul Khalid sebagai KPN lebih mencabar kerana beliau perlu berdepan dengan persepsi negatif orang ramai terhadap usaha pasukan polis dalam mengurangkan kadar jenayah dan untuk memenuhi harapan pasukan itu sendiri.

“Antara cabaran utama yang perlu dihadapi Abdul Khalid ialah menjadikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebuah pasukan profesional bertaraf dunia yang memiliki integriti serta maruah yang tinggi, di samping meningkatkan keyakinan, kepercayaan dan perasaan hormat orang ramai terhadap pasukan itu”, kata Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye.

Jumaat, 17 Mei 2013

Pemilik kedai telefon di samun oleh empat lelaki


KUALA LUMPUR 16 Mei - Polis memburu empat suspek termasuk seorang yang sudah dikenal pasti identitinya kerana dipercayai terlibat dalam kes samun sebuah kedai telefon bimbit di Jalan Raja Laut di sini pada 6 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, identiti suspek tersebut dikenal pasti berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di premis itu semasa kejadian.

Katanya, dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, dua suspek bersenjatakan parang menyerang pemilik kedai itu sementara dua lagi rakan mereka menunggu di luar kedai.

Dua lelaki leka berjudi cedera ditembak sekumpulan lelaki

Gambar hiasan

IPOH 14 Mei - Dua daripada lima lelaki yang sedang leka berjudi cedera ditembak sekumpulan enam hingga tujuh lelaki bersenjatakan pistol di sebuah rumah di Jalan Jeti, Bagan Serai awal pagi semalam, yang dipercayai bermotifkan salah faham dan persengketaan atau pergaduhan kongsi gelap.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.15 pagi itu, kumpulan terbabit menyerbu masuk ke rumah tersebut sebelum berlaku pergaduhan dan seterusnya suspek menyamun barangan peribadi milik mangsa berupa wang tunai dan telefon bimbit.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahalan berkata, kumpulan suspek yang berpakaian hitam dan bertopeng itu kemudian melarikan diri sambil melepaskan dua das tembakan yang mengenai dua lelaki terbabit berusia 32 dan 42 tahun.

MANGSA DITEMBAK KETIKA SEDANG MINUM PAGI


Buruh tidak sedar ditembak
BACHOK – Seorang buruh tidak menyedari dia adalah mangsa tembak walaupun dua das tembakan dilepaskan ke arahnya ketika dia sedang menikmati sarapan di sebuah warung di Kampung Gong Batu, berdekatan Pantai Kemayang kira- kira jam 8 pagi semalam.

Mangsa, Azmi Ismail, 38, hanya menyedari dirinya ditembak selepas mendapati darah mengalir di anggota badannya dan terus rebah sebelum dihantar ke hospital.

Pemilik warung tersebut, Idayu Mustafa,30, berkata, ketika kejadian, suspek menaiki sebuah motosikal Yamaha LC dan berkeliaran di sekitar warungnya sebelum berhenti melepaskan tembakan.

“Ketika itu ada empat pelanggan di warung saya termasuk mangsa. Kami tak sangka dia datang untuk tembak orang sebab pakaiannya hanya berkain batik dan baju kemeja. Sebelum lepaskan tembakan, suspek ada kata pada mangsa, ‘mu ni meto telajok’.

Penyamun serbu tengah hari

Gambar hiasan

Kuala Lumpur: Seorang suri rumah kerugian lebih RM20,000 apabila rumahnya di Wangsa Melawati, di sini, diceroboh tiga lelaki bersenjatakan parang ketika sedang berehat di ruang tamu, kelmarin.
Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, mangsa berusia 52 tahun berada di rumah seorang diri apabila tiga lelaki bertopeng menyerbu masuk mengacukan parang ke arahnya.
Menurut sumber, seorang daripada lelaki itu bertindak menjaga mangsa manakala dua rakannya menggeledah seluruh rumah.

“Lelaki terbabit memaksa mangsa menunjukkan tempat semua barangan kemas miliknya disimpan sambil mengugut mencederakan wanita itu dengan parang.

MAJLIS SERAH TERIMA TUGAS KETUA POLIS NEGARA


KUALA LUMPUR, 16 Mei - Tan Sri Datuk Seri Utama Haji Ismail bin Haji Omar hari ini menyerahkan jawatan Ketua Polis Negara kepada timbalannya Tan Sri Dato' Sri Khalid Bin Abu Bakar yang akan secara rasmi memulakan tugas baharunya sebagai peneraju Polis Diraja Malaysia (PDRM) esok. Majlis serah terima tugas yang berlangsung di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Semarak, di sini itu turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Keselamatan Kementerian Dalam Negeri Datuk Alwi Ibrahim. 

Tan Sri Datuk Seri Utama Haji Ismail bin Haji Omar yang menyertai PDRM pada 1971, dilantik sebagai Ketua Polis Negara mulai 13 Sept 2010 sebelum bersara wajib pada 2011. Pelantikan beliau sebagai Ketua Polis Negara secara kontrak tamat hari ini.

Khamis, 16 Mei 2013

Minta air sebelum menyamun warga emas

Gambar hiasan saja

ALOR GAJAH - Niat baik seorang warga emas memberi air kepada seorang lelaki yang kononnya wakil jurujual simen membawa padah apabila dia disamun di rumahnya di Kelemak, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 8 pagi itu, mangsa didatangi lelaki bermotosikal berusia lingkungan 30-an yang bertanyakan kepadanya sama ada mahu membeli simen ataupun tidak.

Jurucakap polis berkata, mangsa berusia 75 tahun itu menolak penawaran lelaki itu sebelum suspek meminta segelas air daripada mangsa.

"Mangsa masuk ke dalam rumah untuk mengambil air dan secara tiba-tiba suspek muncul dari belakang lalu mencekak leher mangsa sambil mengacukan sebilah pisau ke lehernya.

Televisyen 42 inci dikebas pencuri


Televisyen 42 inci dikebas
ROMPIN – Seorang peneroka terpaksa ‘berputih mata’ selepas televisyen 42 inci yang dibelinya secara ansuran bulanan itu dikebas pencuri yang memecah masuk rumahnya ketika mereka sekeluarga tiada di rumah selama empat hari.

Mangsa, Musa Hashim, 55, berkata, ketika kejadian itu, kesemua penghuni tiada di rumah kerana pulang ke kampung menziarahi  ayahnya yang sakit di Tanjung Karang, Selangor, petang Khamis lalu.

Bagaimanapun, katanya, sebaik saja mereka sekeluarga tiba di rumahnya di Felda Keratong 7, Chanis, petang Isnin lalu, mereka terkejut apabila mendapati  pintu  dapur  rumahnya itu sudah terbuka luas.

Rabu, 15 Mei 2013

PELANTIKAN TAN SRI KHALID SEBAGAI KETUA POLIS NEGARA DISAMBUT BAIK


Kuala Lumpur, 14 Mei - Pelantikan Tan Sri Khalid Abu Bakar sebagai Ketua Polis Negara yang baharu disambut baik dengan keyakinan tinggi beliau mampu meningkatkan lagi imej dan keupayaan pasukan polis dalam mengharungi cabaran semasa dan akan datang.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye berkata MCPF percaya pelantikan Khalid adalah pilihan tepat kerana beliau terbukti komited dalam menjalankan tugas.

Lee berkata kehadiran Khalid menerajui PDRM adalah pada waktu yang tepat, tetapi beliau perlu bekerja lebih keras dalam menangani isu jenayah yang semakin mencabar ketika ini.

MASIH ADA LAGI YANG TERPEDAYA DENGAN "AFRICAN SCAM" !!!!!


Kerana cinta masih ada jadi mangsa sindiket penipuan internet

KUALA LUMPUR: Walaupun banyak kes berkaitan penipuan melalui Internet dilaporkan media massa namun masih ada lagi individu yang menjadi mangsa sindiket itu gara-gara cinta. 

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh, berkata semalam polis menahan sembilan lelaki Nigeria berusia antara 20 dan 30 tahun yang dipercayai pelajar terlibat dalam sindiket 'African Scam' di Ampang serta Puchong. 

Selasa, 14 Mei 2013

Lelaki parah terkena dua das tembakan jarak dekat


JOHOR BAHRU 13 Mei - Seorang lelaki cedera parah selepas terkena dua das tembakan ketika berjalan kaki di tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Dato Suleiman di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 3.30 petang itu, mangsa yang berusia lingkungan 40-an mengalami kecederaan di bahu selepas ditembak dari jarak kira-kira 20 meter.
Seorang saksi yang enggan dikenali memberitahu, mangsa sedang berjalan menuju ke keretanya sebelum dihampiri seorang lelaki yang kemudian melepaskan empat das tembakan ke arahnya.

"Saya terdengar bunyi tembakan sebanyak empat kali sebelum nampak seorang lelaki meninggalkan tempat letak kereta dan melarikan diri dengan sebuah motosikal bersama seorang rakannya yang menunggu di luar tempat letak kereta.

"Mangsa yang cedera dilihat berlari untuk menyelamatkan diri," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian. - UTUSAN ONLINE

TAHNIAH!!!! Tan Sri Khalid Abu Bakar Dilantik KPN Yang Baharu


TAN Sri Khalid Abu Bakar dilantik sebagai Ketua Polis Negara (KPN) yang baharu berkuat kuasa Jumaat (17 Mei), menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri.
Sementara itu Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin dilantik sebagai Timbalan KPN yang baharu juga berkuat kuasa pada tarikh sama, menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, Selasa. - BERNAMA

2 pelanggan kedai runcit parah ditembak

Gambar hiasan

HULU LANGAT 13 Mei - Dua pelanggan sebuah kedai runcit cedera parah akibat ditembak sekumpulan tiga lelaki yang datang menyamun premis itu di Bukit Angkat, Kajang di sini semalam.

Dalam kejadian itu, tiga suspek yang berusia lingkungan 20-an datang ke kedai runcit yang dimiliki seorang warga asing berusia 40 tahun dan berpura-pura untuk membeli air minuman.

Bagaimanapun dalam kejadian pukul 5.14 petang itu, suspek kemudian meluru masuk ke dalam kaunter yang dijaga mangsa dan cuba membuka mesin wang setelah menumbuk pemilik kedai itu.

Dua Lelaki Maut, Dua Lagi Parah Ditembak Di Bukit Tambun

Gambar hiasan
BATU KAWAN: Dua lelaki maut manakala dua lagi cedera parah selepas ditembak ketika berhenti di lampu isyarat persimpangan Bukit Tambun, di sini malam Ahad.
Kedua-dua lelaki itu mati ketika dirawat di Hospital Seberang Jaya dan hasil siasatan awal polis mendapati mereka mempunyai beberapa rekod jenayah.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata keempat-empat lelaki itu ditembak selepas pulang daripada majlis perkahwinan saudara mereka di sebuah dewan kira-kira 150 meter dari tempat kejadian.

Dua lelaki parah ditembak


Dua lelaki parah ditembak
CHERAS - Dua  lelaki  mengalami kecederaan  parah setelah ditembak ahli kumpulan samseng dalam satu pergaduhan di sebuah kawasan perumahan di Jalan Budiman 19, Taman Mulia di sini, malam kelmarin.


Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu  yang dipercayai  berlaku  apabila kedua-dua mangsa berusia 29 tahun berkenaan menggertak ahli kumpulan samseng yang sedang minum di sebuah restoran.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata,  tindakan berkenaan telah menyebabkan berlakunya pertengkaran kecil sebelum kedua-dua mangsa melarikan diri dengan menaiki motosikal.

Isnin, 13 Mei 2013

Mati ditembak 10 das dari jarak dekat


Ditembak 10 das dari jarak dekat
KULIM - Seorang pembantu kedai barang lusuh ditemui mati dalam kereta yang dipandunya dengan 10 kesan tembakan, di persimpangan lampu isyarat Taman Kucai, Lunas di sini, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Salleh berkata, mangsa dikenali sebagai KThangaraja, 31, dari Taman Perak di sini, dikatakan sedang memandu bersendirian ke arah lebuh raya Butterworth-Kulim, sebelum diserang pada jam 8.43 malam.

“Dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal dipercayai bersenjatakan pistol mendekati kereta Perodua Alza yang disewa mangsa, yang sedang berhenti di persimpangan tersebut. Suspek kemudiannya melepaskan l0 das tembakan ke arah mangsa.

“Beberapa das tembakan mengenai muka dan lengan mangsa. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” kata ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, pihak polis menjumpai 10 kelongsong peluru berukuran 9 mm di dalam kereta dan kawasan kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mangsa dipercayai berasal dari Pulau Pinang dan dipercayai baru berpindah di taman tersebut. - Bernama

Ahad, 12 Mei 2013

Dua lelaki parah ditembak kumpulan samseng


CHERAS - Tindakan dua lelaki mencari gaduh dengan sekumpulan samseng mengundang padah apabila ke dua-duanya cedera parah setelah ditembak di perut oleh ahli kumpulan berkenaan di Jalan Budiman 9, Taman Mulia di sini malam tadi.
Kejadian pada kira-kira pukul 7.30 malam itu dipercayai tercetus apabila kedua-dua mangsa berumur 30-an dan bersenjatakan parang pergi ke tempat kejadian dengan menaiki motosikal untuk menggertak anggota samseng yang sedang minum di sebuah kedai kopi.

SINDIKET 'MACAU SCAM' DI KUCHING TUMPAS


Kuching, 9 Mei - Polis Diraja Malaysia dengan kerjasama polis dari Taiwan dan China berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan dalam talian melibatkan perpindahan wang melebihi RM4 bilion dikenali sebagai 'Macau Scam' di sini hari ini. 

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata kejayaan ini berikutan tertangkapnya 84 warga asing di dua buah rumah mewah di lokasi berasingan di bandar raya ini pagi ini. 

Ketua Polis Negara melawat Supt. Ghazali

Kuala Terengganu, 10 Mei 2013 - Kemalangan ngeri pada 30 April di Km 27 Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang dekat Wakaf Tapai yang menimpa seorang Pegawai Kanan Polis, Supt. Ghazali Bin Daud, bertugas di Unit Agama dan Kaunseling Bukit Aman dan kini di rawat di Kuala Terengganu Hospital Specialist (KTS) telah mendapat perhatian daripada pucuk pimpinan Polis DiRaja Malaysia, apabila YDH IG Tan Sri Datuk Seri Utama Hj. Ismail Bin Hj. Omar, Ketua Polis Negara telah datang melawat beliau dan menyampaikan sumbangan mewakili seluruh warga PDRM. 

Dalam kemalangan pukul 3.50 pagi itu telah meragut nyawa isterinya Haniza Abd Rahman, 40, dan dua anaknya Ahmad Firdaus Izzudin, 10 dan Nur Aliah Adibah, 9. Lima lagi anak mangsa iaitu Ahmad Fahmi Izzudin, 12, Nur Aliah Afifah, 7, Nur Aliah Atikah, 6, Aina Yusro, 3, dan Akilah Husna, tujuh bulan, dilaporkan turut cedera.

PERHIMPUNAN BANTAH 505 DI PERAK ESOK TIDAK TEPATI SYARAT-SYARAT AKTA PERHIMPUNAN AWAM.


IPOH, 11 Mei - Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata polis tidak meluluskan permohonan bagi Perhimpunan Bantah 505 peringkat negeri Perak kerana tidak menepati syarat-syarat di bawah Akta Perhimpunan Awam. 

Beliau berkata penganjur perhimpunan itu sepatutnya membuat permohonan kepada Ketua Polis Daerah Ipoh dalam tempoh 10 hari sebelum tarikh perhimpunan. 

"Jika Penganjur terus mengadakan perhimpunan maka itu akan jadi satu perhimpunan haram," katanya ketika dihubungi hari ini. 

Mohd Shukri menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil bahagian dalam perhimpunan tersebut di Medan Istana di sini. 

Beliau berkata sehingga petang ini polis menerima 65 laporan daripada pelbagai pihak yang membantah penganjuran perhimpunan itu. 

Ini termasuk 12 Pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) serta parti politik termasuk Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Barat dan Ipoh Timur, Prowaris, Suara Anak Muda 1Malaysia (SAM), Perak Peace, Kesatuan Anak Muda Islam (KAMI), Sekretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB), Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) dan Belia 4B. - BERNAMA

Perjumpaan Dengan Warga PDRM Terengganu


Kuala Terengganu, 10 Mei 2013 – Bertempat di Dewan Utama, Tingkat 4, Menara Yayasan Islam Terengganu, Kuala Terengganu, YDH IG Tan Sri Datuk Seri Utama Hj. Ismail bin Hj. Omar, Ketua Polis Negara, YDH CP Datuk Mortadza bin Nazarene, Pengarah Pengurusan PDRM dalam lawatan kerja Ke Kontinjen Terengganu telah membuat perjumpaan bersama pegawai dan anggota polis Kontinjen Terengganu. Seramai lebih kurang 300 orang hadir, terdiri daripada pegawai dan anggota dari seluruh daerah Kontinjen Terengganu. 

Dalam ucapan beliau YDH Ketua Polis Negara menyarankan agar semua pegawai dan anggota polis mempunyai hubungan yang baik dengan orang awam di pelbagai peringkat dalam masyarakat kerana ia merupakan suatu kaedah di dalam menjaga keamanan Negara. 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...